Jangan Jadikan Covid-19 Alasan Lewat Laksana Projek – KM Sabah

Hajiji Noor mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri Sabah hari ini.

KOTA KINABALU, 4 Mac  : Ketua Menteri Sabah Datuk Hajiji Noor mengingatkan semua ketua jabatan agar tidak menjadikan pandemik COVID-19 sebagai alasan melewatkan pelaksanaan projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di negeri itu.

Beliau berkata ketua jabatan perlu memastikan semua projek yang mendapat kelulusan belanjawan untuk Rolling Plan Kedua RMK12 dilaksanakan segera bagi membolehkan manfaatnya dapat dinikmati rakyat secepat mungkin.

Katanya kelewatan melaksanakan projek yang telah diluluskan akan meningkatkan kos pelaksanaan, merugikan rakyat dan kerajaan sekali gus menafikan hak rakyat terhadap manfaat yang sepatutnya mereka terima daripada projek itu.

“Semua projek hendaklah dilaksanakan segera khususnya projek yang berbentuk ‘touch points’. Semua agensi hendaklah cuba untuk memudahkan semua pelaksanaan projek yang telah diluluskan dan bukan sebaliknya”, katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Terdahulu beliau mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri (MTPNg) Sabah di Menara Kinabalu hari ini yang turut dihadiri Timbalan Ketua Menteri Datuk Dr Jeffrey Kitingan, Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah Datuk Safar Untong dan Setiausaha Persekutuan Sabah Datuk Sarul Bahiyah Abu.

Hajiji berkata aktiviti ekonomi, pendidikan dan projek pembangunan perlu terus bergerak bagi memastikan Sabah serta rakyatnya terus maju.

“Justeru kita perlu gariskan pelan tindakan yang mantap, rencanakan strategi yang ampuh… yang memberikan impak tinggi bukan sahaja kepada organisasi tetapi kepada rakyat yang memerlukan,” tegasnya. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *