Pampasan Kepada Waris Sultan Sulu: Polis Sabah Perkukuh Keselamatan

Idris Abdullah (tiga dari kanan) menghadiri majlis serah terima tugas beberapa jawatan tertinggi polis negeri di IPK Sabah, hari ini.

KOTA KINABALU: Polis Sabah terus fokus memperkukuhkan aspek keselamatan di negeri itu susulan arahan penimbang tara Sepanyol, Gonzalo Stampa agar kerajaan Malaysia membayar RM62.5 bilion kepada waris Sultan Sulu, baru-baru ini.

Bagaimanapun, Pesuruhjaya Polis Sabah, Idris Abdullah berkata, masyarakat di negeri ini tidak perlu bimbang kerana pasukan keselamatan sentiasa melipatgandakan usaha dari segi kesiapsiagaan dalam menghadapi apa saja kemungkinan ancaman luar.

“Polis menerima maklumat berkenaan dan akan terus fokus memperkukuhkan aspek keselamatan dalam negeri dan juga perairan persempadanan,” katanya dalam sidang media, hari ini.

Idris berkata, pihaknya sudah mengarah dan menggerakkan semua elemen di lapangan supaya sentiasa bersedia, khususnya di perairan pantai timur Sabah.

“Polis akan melipatgandakan lagi usaha kita di dalam kesiapsiagaan menghadapi kemungkinan ancaman luar, jika ada yang cuba mengganggu ketenteraman dan kedaulatan negeri ini.

“Setakat ini, tiada sebarang ancaman, namun kita telah mengarah dan menggerakkan semua elemen kita supaya melipatgandakan kesiapsiagaan,” katanya.

Sementara itu, Idris berkata, kawasan keselamatan di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) akan disemak semula bagi meningkatkan keberkesanan kawalan keselamatan, terutama di kawasan perairan.

Katanya, semakan semula itu mungkin membabitkan perluasan kawasan perairan yang ketika ini di bawah perintah berkurung bermula 6 petang hingga 6 pagi.

“Kita akan buat kajian dan mungkin kita akan panggil dari peringkat tertinggi dari Bukit Aman untuk hadir dalam kajian itu. Selepas kita dapat keputusan, kita akan umumkan apa keputusannya.”

Terdahulu, Idris menyaksikan majlis serah terima tugas Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Siasatan/Perundangan dan Risikan/Operasi) serta Timbalan Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah, hari ini. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *