Cubaan Sogok Anggota PGA, ‘Ketua Rombongan’ Bawa 47 Warga Asing Ditahan Di Kalabakan

Rombongan berkenaan disertai pemandu bersama 53 penumpang berusia di antara empat hingga 80 tahun. -Gambar ihsan PGA

KALABAKAN: Seorang lelaki dipercayai ketua rombongan membabitkan tujuh kenderaan membawa puluhan warga asing ditahan selepas cuba memberi sogokan kepada petugas di Pusat Pemeriksaan Daratan (RCP) Kalabakan, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 6 pagi ini, lelaki berusia 52 tahun itu dikatakan cuba memberikan wang sebanyak RM1,650 dipercayai sebagai dorongan untuk pihak berkuasa melepaskan mereka.

Bagaimanapun, selepas beberapa amaran diberikan, lelaki warga tempatan itu ditahan anggota Batalion 14, Pasukan Gerakan Am (PGA) Tawau dan RELA untuk tindakan lanjut.

Komander Briged PGA Sabah, Senior Asisten Komisioner Abdul Rani Alias berkata, hasil siasatan awal, rombongan berkenaan disertai pemandu bersama 53 penumpang berusia empat hingga 80 tahun.

Katanya, pemeriksaan mendapati 26 individu tidak mempunyai dokumen keterangan diri yang sah, 21 lagi memiliki pasport, manakala enam lagi memiliki kad pengenalan diri yang sah.

“Hasil soal siasat mendapati, semua individu terbabit ini bekerja di sebuah ladang getah dan kontrak mereka telah tamat.

“Semua suspek dipercayai bergerak dari Kuala Penyu menghala ke Tawau mengikut Jalan Sapulut-Kalabakan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Abdul Rani berkata, semua individu terbabit ditahan dan dibawa ke Balai Polis Kalabakan untuk tindakan lanjut.Katanya, polis turut melakukan rampasan terhadap tujuh kenderaan terbabit dan wang sogokan yang keseluruhannya dianggarkan bernilai RM487,650.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 kerana kesalahan mengangkut migran yang diseludup.

“Selain itu, kes turut disiasat mengikut Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 5(2) dan Seksyen 6(1)(c) akta yang sama,” katanya. – AWANI

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *