TERKINI: Bandar Kherson Jatuh Ke Tangan Tentera Russia Sebentar Tadi

BANDAR pelabuhan strategik utama yang terletak di selatan Ukraine, Kherson akhirnya dilapor sudah jatuh ke tangan tentera Russia sebentar tadi, lapor Aljazeera.

Kemaraan Russia yang menakluki bandar itu disahkan oleh datuk bandar, Igor Kolykhaev dalam satu kenyataan seperti yang dilaporkan media hari ini.

“Penceroboh Russia kini sedang berada di kesemua bahagian bandar dan ia sangat bahaya,” kata Pengarah Pentadbiran Kawasan, Gennady Lakhuta menerusi Telegram, memetik Aljazeera.

Difahamkan, bandar pelabuhan itu dikepung ketika tentera Russia sedang mara meneruskan serangan merentasi bandar-bandar yang lain.

Dalam masa sama, bandar Berdiansk juga dilapor turut dirampas Russia.

Menurut laporan, Kherson merupakan kota besar pertama yang dilapor telah ditawan Russia setelah pertempuran sengit yang berlaku sejak seminggu lalu.

Untuk rekod, bandar pelabuhan Kherson yang terletak berhampiran dengan Laut Hitam itu menempatkan kira-kira 290,000 penduduk setakat ini.

Terdahulu, siasatan terhadap kemungkinan jenayah perang dan jenayah kemanusiaan yang dilakukan Russia ke atas Ukraine telah dilancarkan di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) di The Hague.

Memetik The Guardian, bekas ‘gergasi’ Soviet Union itu juga turut didakwa melakukan jenayah kemanusiaan dalam pencerobohan ke atas Ukraine.

Peguam British, Karim Khan berkata, pihaknya akan membuka kertas siasatan berpandukan siasatan terdahulu yang pernah dibuat mengenai Crimea dan Donbas tahun lepas.

“Saya sudah memberitahu kumpulan saya untuk mengumpul segala bukti yang boleh mengukuhkan lagi peluang untuk mendakwa mereka,” katanya.

Sumber: Al-Jazeera / CNA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *