Kluster Baharu Di Sabah Babitkan Tapak Pembinaan Di Tenom, Kata Masidi

Gambar Hiasan

KOTA KINABALU: Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Masidi Manjun berkata, satu kluster di tempat kerja iaitu Kluster Tolokoson Kem Dua di Tenom diisytiharkan di Sabah, hari ini.

Katanya, kluster berkenaan membabitkan warga kerja di Sino Hydro Kem Dua Tolokoson, Tenom dengan kes indeks merupakan seorang lelaki warga asing berusia 59 tahun.

“Kes indeks dikesan positif melalui saringan bergejala pada 19 Feb dan hasil saringan kontrak rapat dalam kalangan rakan sekerja mendapati 137 orang lagi positif.

“Ini menjadikan jumlah kumulatif mereka yang telah dijangkiti dalam kluster ini ialah seramai 138 orang setakat,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, kesemua mereka telah diasingkan dan diberi rawatan selanjutnya manakala kontak rapat tidak bergejala juga telah diberikan perintah kuarantin.

Katanya, siasatan awal mendapati penularan jangkitan bermula di dalam kawasan tapak pembinaan.

Sementara itu, Masidi yang juga jurucakap negeri berkaitan Covid-19 berkata, Sabah mencatatkan jumlah kes baharu di bawah paras 3,000 buat kali pertama sejak 10 Feb lalu.

Katanya, sebanyak 2,874 kes dicatatkan hari ini, iaitu menunjukkan penurunan sebanyak 861 kes berbanding semalam.

“Peratusan kes jangkitan sporadik masih tinggi iaitu 58.8% hari ini, dan trend menurun sejak beberapa hari belum pasti boleh bertahan.

“Kes-kes tertunggak juga masih tinggi dan ini akan mempengaruhi jumlah kes harian yang dilaporkan setiap hari sehingga semua “backlogs dibersihkan”,” katanya.

Masidi berkata, sebanyak 353 daripada jumlah kes baharu hari ini juga adalah melibatkan kanak-kanak berusia bawah 11 tahun.

Katanya, 171 daripada jumlah itu adalah membabitkan kanak-kanak yang belum layak menerima vaksin iaitu yang berusia lima tahun dan ke bawah.

“Setakat ini juga, PICKids (Program Imunisasi Covid-19 Kanak-Kanak) Sabah telah berjaya melaksanakan pemberian vaksin kepada 42,823 kanak-kanak daripada 411,400 kanak-kanak di Sabah yang berusia antara 5 hingga 11 tahun,” katanya. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *