STAR Sokong KDM Sertai GRS

Presiden STAR, Jeffrey Kitingan berkata, penyertaan KDM dalam GRS juga perlu mendapat persetujuan parti lain dalam gabungan itu.

KOTA KINABALU : Penyertaan parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mendapat persetujuan parti Solidariti Tanah Airku (STAR).

Bagaimanapun Presidennya, Jeffrey Kitingan berkata, perkara itu perlu mendapat persetujuan parti lain dalam GRS.

“Setuju (KDM sertai GRS). Bagi saya tiada masalah, tetapi kita kena dengar yang lain juga,” katanya menurut laporan Sinar Harian.

Beliau berkata demikian ketika ditanya berhubung kenyataan Parti Bersatu Sabah (PBS) yang tidak mahu tergesa-gesa menerima parti baharu dalam GRS.

Mengulas lanjut, Jeffrey yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah percaya penyertaan parti pimpinan bekas Naib Presiden Warisan, Peter Anthony itu akan memperkukuhkan lagi kerajaan GRS.

“Saya percaya ini akan dibincangkan dengan secepat mungkin dan saya percaya juga ada kebaikannya menerima permohonan itu kerana ia juga akan memperkukuhkan kerajaan GRS.

“Jadi saya melihat ini sebagai satu yang boleh memperkuatkan kerajaan kerana kerajaan ingin melihat kesatuan pemimpin daripada parti-parti (dalam GRS),” katanya.

Isnin lalu, Peter dilaporkan berkata, sebagai parti baharu, KDM berhasrat menyertai GRS selepas gabungan itu didaftarkan secara rasmi kelak.

“Sebagai parti kerdil kita perlu bekerjasama dalam memajukan Sabah…sudah tiba masanya parti politik di Sabah bergabung agar kerajaan kita kuat seperti yang berlaku di Sarawak,” kata Peter.

Pada 28 Dis lalu, Peter yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap meninggalkan Warisan serta mengisytiharkan akan menubuhkan parti baharu yang mesra GPS. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *