Perkukuh GRS Dahulu Sebelum Pertimbang Terima Parti Baharu, Kata Joniston

Joniston Bangkuai berkata, parti baharu yang berhasrat untuk menyertai GRS mesti menunjukkan aspirasi dan motivasi politik mereka serta sumbangan jangka panjang yang tulus dan ikhlas kepada GRS.

KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) perlu mengukuhkan hubungan baik antara parti-parti pengasasnya sebelum mempertimbangkan untuk menerima parti baharu, kata Ketua Penerangannya, Joniston Bangkuai

Joniston berkata, GRS perlu mengekalkan rakan kongsi asal yang telah membuktikan komitmen serta perjuangan mereka dengan memenangi pilihan raya negeri (PRN) ke-16, tahun lalu iaitu Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan PBS.

“Walaupun kami mengalu-alukan sokongan daripada semua rakyat Sabah, tetapi kita tidak boleh tergesa-gesa untuk membentuk pakatan dengan parti-parti baharu di mana kesetiaan dan semangat rakan kongsi masih belum dibuktikan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Joniston yang juga Setiausaha Agung PBS turut menegaskan, parti baharu yang berhasrat untuk menyertai GRS mesti menunjukkan aspirasi dan motivasi politik mereka serta sumbangan jangka panjang yang tulus dan ikhlas kepada GRS.

“Sebarang keputusan untuk menerima parti baharu, termasuk yang telah mengisytiharkan mesra GRS ke dalam gabungan itu mesti mendapat kata sepakat daripada semua rakan kongsi sedia ada.

“Lagipun, individu yang menerajui parti-parti ini (berhasrat untuk menyertai GRS) adalah lawan politik kita lebih setahun lalu dan oleh itu, adalah menjadi keutamaan kita untuk menjaga rakan kongsi asal di samping mengukuhkan lagi perpaduan dalaman kita.

“Apa yang kita mahu lihat ialah gabungan yang dibina berasaskan kepercayaan dengan memberi keutamaan kepada kepentingan rakyat dan masa depan negeri,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kiulu.

Joniston berkata demikian sebagai respon kepada pengumuman bekas Naib Presiden Warisan Peter Anthony yang telah menubuhkan parti baharu, Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) dan ingin memohon menyertai GRS.

Peter yang juga ADUN Melalap telah meletak jawatan daripada Warisan pada Disember tahun lalu kerana mendakwa parti itu telah tersasar daripada perjuangan asal apabila membuat keputusan mengembangkan sayap ke semenanjung.

Joniston berkata, PBS percaya kepada kebijaksanaan pengerusi GRS dan Ketua Menteri Hajiji Noor dalam memastikan keharmonian di kalangan semua rakan pengasas GRS kekal pada tahap tertinggi.

Sebagai parti politik tempatan yang terbesar dan tertua di Sabah, Joniston menegaskan, PBS telah dan akan terus bekerja tanpa henti untuk mengukuhkan GRS.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *