Pendaftaran Vaksinasi Covid-19 Kanak-Kanak Terendah Di Sabah & Kelantan

Kadar pendaftaran vaksinasi Covid-19 bagi kanak-kanak di peringkat kebangsaan adalah 25% setakat semalam.

PUTRAJAYA: Kurang 10% daripada populasi kanak-kanak di Kelantan dan Sabah mendaftar dengan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan untuk Kanak-kanak (PICKids) setakat 15 Feb.

Graf yang dimuat naik oleh Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin di Twitter menunjukkan hanya 7% dan 8% daripada kanak-kanak di Kelantan dan Sabah berdaftar untuk mendapatkan vaksin.

Kadar ini jauh berbeza dengan Kuala Lumpur, dengan 52% telah berdaftar.

Ia diikuti Pulau Pinang (38%), Putrajaya (37%), Melaka (35%), Selangor (33%), Johor (32%), Sarawak (26%), Negeri Sembilan (25%), Perak (23%), Pahang (19%), Kedah (18%), Terengganu (15%), Labuan (14%) dan Perlis (13%).

Kadar pendaftaran bagi kanak-kanak di peringkat kebangsaan adalah 25% setakat semalam.

“Liputan dan pendaftaran #PICKids semakin meningkat. Alhamdulillah ibu bapa mahu memberi perlindungan kepada anak,” kata Khairy di Twitter.

“Walaupun ada yang sebar fitnah anak saya ‘dicucuk angin’, semakin ramai ibu bapa yakin dengan vaksin. Jangan kacau orang lain yang nak vaksinkan anak mereka.”

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *