Paragliding Di Gunung Kinabalu: Seorang Cedera Dan Satu Lagi Tersangkut Pokok

Pasukan bomba membawa mangsa cedera turun ke kaki Gunung Kinabalu.

RANAU: Seorang lelaki cedera, manakala seorang lagi tersangkut di pokok ketika melakukan aktiviti paragliding dalam dua kejadian berasingan di Gunung Kinabalu.

Dalam kejadian kira-kira 7 pagi tadi, seorang lelaki warga Perancis cedera di kaki kirinya selepas terlanggar permukaan gunung ketika melakukan aktiviti paragliding di KM7.5 gunung berkenaan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 7.39 pagi.

Susulan itu, sepasukan 14 anggota dan pegawai, termasuk Pasukan Mencari dan Menyelamat Gunung Kinabalu (MOSAR) serta malim gunung dikerah ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi, MOSAR terus memberi rawatan awal bagi memastikan mangsa dalam keadaan stabil dan selamat. Mangsa seterusnya dibawa turun ke Timpohon Gate di kaki gunung menggunakan ‘Robinson stretcher’,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, lelaki itu kemudiannya dihantar ke Hospital Ranau untuk mendapatkan rawatan lanjut sebelum operasi ditamatkan pada 5.18 petang.

Dalam satu lagi kejadian, seorang lagi lelaki warga Perancis yang turut melakukan aktiviti paragliding dilaporkan tersasar dan tersangkut di pokok di Kiau View Trail, Gunung Kinabalu.

Berdasarkan laporan yang diterima pada 10.52 pagi, mangsa berusia 54 tahun itu dikatakan tersangkut di atas pokok pada ketinggian 18m dan pasukan operasi berjaya menurunkan mangsa pada 3.56 petang.

“Mangsa diturunkan menggunakan sistem tali penyelamat ‘3:1’ dan mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan serta tidak memerlukan sebarang rawatan lanjut.”

Beliau berkata, berdasarkan maklumat diterima, aktiviti paragliding itu membabitkan lapan individu, tetapi hanya seorang yang cedera. – FMT

Seorang lagi mangsa tersangkut di pokok ketika melakukan aktiviti paragliding di Gunung Kinabalu hari ini.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *