Jabatan Kesihatan Sabah Nafi Remaja Meninggal Dunia Akibat Dos Penggalak

Siasatan mendapati pesakit menerima dos pertama vaksin Covid-19 pada 31 Julai 2021 dan dos kedua pada 21 Ogos 2021 manakala ibu pesakit dan Hospital Tuaran telah mengesahkan pesakit tidak pernah mengambil dos vaksin penggalak.

KOTA KINABALU: Jabatan Kesihatan Sabah menafikan video yang tular di aplikasi WhatsApps berkenaan dengan seorang remaja negeri itu yang meninggal dunia akibat dos penggalak vaksin Covid-19.

Pengarah Kesihatan Sabah, Dr Rose Nani Mudin, berkata punca sebenar kematian remaja berkenaan disebabkan jangkitan pada paru-paru dan penyakit jantung sejak lahir .

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, Dr Rose Nani Mudin.

“Pesakit telah meninggal dunia pada 12 Feb 2022. Punca sebenar kematian adalah disebabkan jangkitan paru-paru dan penyakit jantung sejak lahir (congenital heart disease) yang semakin tenat dan bukannya disebabkan dos penggalak vaksin Covid-19 seperti yang didakwa.

“Keadaan pesakit telah diterangkan kepada ahli keluarga pesakit dan mereka menerima penerangan mengenai punca kematian dengan baik,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, remaja berkenaan juga tidak pernah mengambil dos penggalak seperti yang ditularkan.

Beliau berkata, siasatan juga mendapati bahawa pesakit telah menerima dos pertama vaksin Covid-19 pada 31 Julai 2021 dan dos kedua pada 21 Ogos 2021 manakala ibu pesakit dan Hospital Tuaran telah mengesahkan pesakit tidak pernah mengambil dos vaksin penggalak.

“Sehubungan dengan itu, satu laporan polis telah dibuat oleh ibu pesakit pada 13 Februari 2022 yang menafikan bahawa kematian anaknya adalah disebabkan oleh dos penggalak vaksin Covid-19 dan menafikan bahawa ahli keluarga membuat penularan dalam aplikasi Whatsapps mengenai kematian anaknya disebabkan oleh dos penggalak,” katanya.

Katanya, Hospital Tuaran juga telah membuat laporan polis mengenai penularan berita palsu dan gambar pesakit terbabit di aplikasi Whatsapps.

Terdahulu tular gambar serta audio di WhatsApp yang memaklumkan kononnya seorang remaja di Sabah meninggal dunia selepas mendapat suntikan dos penggalak dan vaksin diberikan tanpa kebenaran ibu bapa pesakit.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *