Hanya 2.35% Kanak-Kanak Di Sabah Divaksin, Kata Masidi

Masidi Manjun berkata, ibu bapa diharapkan dapat mengambil inisiatif untuk memastikan anak-anak mereka diberi vaksin agar mereka memperoleh perlindungan maksimum daripada jangkitan virus Covid-19.

KOTA KINABALU: Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Masidi Manjun, berkata hanya seramai 9,686 orang atau 2.35% daripada 411,400 kanak-kanak yang layak divaksin di Sabah telah menerima vaksin itu, setakat semalam.

Katanya, angka itu sangat rendah dengan mengambil kira risiko jangkitan yang tinggi serta jumlah kanak-kanak berumur bawah 11 tahun yang dijangkiti Covid-19 setiap hari.

“Hari ini 272 pesakit baharu terdiri daripada kanak-kanak yang berumur 5 hingga 11 tahun yang sepatutnya sudah layak menerima vaksin.

“Amatlah diharapkan agar ibu bapa mengambil inisiatif untuk memastikan anak-anak mereka diberi vaksin agar mereka memperoleh perlindungan maksimum daripada jangkitan virus Covid-19,” katanya ketika dihubungi.

Terdahulu, Masidi yang juga jurucakap negeri berkaitan Covid-19 berkata, jumlah kes harian di Sabah kembali melepasi angka 4,000 dengan pertambahan 144 kes berbanding semalam.

Katanya, jumlah jangkitan baharu ialah 4,035 kes dan pertambahan itu memang sudah dijangka dengan mengambil kira peratusan jangkitan sporadik yang tinggi.

“Jumlah daerah yang mencatatkan kes tiga angka juga semakin bertambah iaitu kepada 12 daerah hari ini.

“Jumlah kes bergejala yang berpunca daripada jangkitan sporadik adalah amat tinggi iaitu 61.07% atau 2,464 daripada 4,035 kes hari ini,” katanya.

Masidi berkata, seramai 4,011 atau 99.41% daripada jumlah kes baharu adalah dalam Kategori 1 dan 2, terdapat tujuh kes dalam Kategori 3, 14 kes dalam Kategori 4 dan tiga kes dalam Kategori 5. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *