KOTA KINABALU: Seorang pegawai polis cedera dilanggar kereta curi dipandu seorang wanita yang cuba melarikan diri dengan merempuh sekatan di Jalan Tun Fuad, di sini.
Dalam kejadian 10 pagi tadi, pemilik sebenar sebuah Toyota Hilux dikatakan menemui kenderaannya dipandu wanita berusia 35 tahun itu di kawasan berhampiran Pasar Filipina.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, George Abd Rakman berkata, selepas menerima laporan daripada pemilik sebenar kenderaan itu, Unit Peronda MPV polis berjaya mengesan kedudukan Toyota Hilux itu di Jalan Tanjung Lipat, di sini.
Bagaimanapun katanya, suspek tidak mengendahkan arahan memberhentikan kenderaan, sebaliknya terus memecut melarikan diri.
“Dua kereta MPV yang turut dibantu pasukan trafik sekali lagi menghalang kenderaan suspek daripada melarikan diri di kawasan Universiti Malaysia Sabah (UMS), namun suspek terus merempuh sekatan jalan dan menuju ke Jalan Sepanggar.
“Semasa berada di hadapan lampu isyarat Tebobon di Jalan Sepanggar, kenderaan suspek tersekat akibat kesesakan lalu lintas dan ketika polis cuba menahannya, suspek sekali lagi melarikan diri dengan menggunakan lorong kecemasan,” katanya ketika dihubungi.
George berkata, suspek tiba-tiba mengundur kenderaan dengan laju dan terlanggar seorang pegawai polis sehingga cedera.
Katanya, pasukan polis terpaksa melepaskan beberapa das tembakan ke arah tayar menyebabkan kenderaan suspek tidak dapat bergerak dan bertindak memecahkan tingkap hadapan kenderaan untuk menahan suspek.
“Hasil pemeriksaan di dalam kenderaan polis menemui syabu dipercayai untuk kegunaan suspek.”
Katanya, wanita tempatan yang tidak bekerja itu disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun jika sabit kesalahan. – FMT
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost