Kes Kanak-Kanak Positif Covid-19 Di Sabah Meningkat – Masidi

Masidi Manjun berharap ibu bapa dan pengurusan sekolah mengambil langkah perlu mengurangkan risiko jangkitan dalam kalangan kanak-kanak kerana ada yang belum layak divaksin. – Gambar Hiasan

KOTA KINABALU: Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Masidi Manjun berkata jangkitan Covid-19 membabitkan kanak-kanak di negeri itu menunjukkan peningkatan hari ini.

Katanya, 189 kanak-kanak berumur 5 tahun ke bawah dan 329 kanak-kanak berusia 5 hingga 11 tahun yang belum divaksin, dijangkiti virus itu.

“Amatlah diharapkan ibu bapa dan pengurusan sekolah mengambil langkah perlu untuk mengurangkan risiko jangkitan ke atas anak-anak kecil, apatah lagi mereka yang belum layak diberi vaksin,” katanya ketika dihubungi.

Terdahulu, Masidi yang juga jurucakap Covid-19 Sabah berkata, negeri itu merekodkan 3,891 kes Covid-19 hari ini, menurun 216 kes berbanding semalam.

Katanya, daerah yang mencatatkan kes harian tinggi dikesan melalui saringan bergejala akibat jangkitan sporadik.

“Secara keseluruhan, 58.52% atau 2,277 daripada 3,891 kes hari ini dikesan melalui saringan bergejala yang berpunca daripada jangkitan sporadik.

“Peratusan jangkitan sporadik di daerah yang mencatatkan kes tiga angka adalah tinggi, iaitu Kota Kinabalu 68%, Sandakan 78%, Tuaran 49.2%, Penampang 45.7%, Papar 55.8%, Tawau 57.1%, Lahad Datu 60.8%, Beaufort 52.6%, Ranau 85.7% dan Kota Belud 42%.”

Beliau berkata, sebanyak 3,881 atau 99.74% kes baharu hari ini dalam Kategori 1 dan 2, empat kes Kategori 3, empat kes dalam Kategori 4 dan dua kes Kategori 5. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *