Gerai Jualan Ibarat Rumah Setinggan

Keadaan gerai di Kampung Binsulok, Membakut yang perlu dinaik taraf.

KOTA KINABALU: Gerai jualan siput tuntul di Kampung Binsulok, Membakut sering menjadi tumpuan pelanggan namun sejak dibuka sehingga sekarang tiada sebarang usaha menaik taraf dilakukan.

Penjaja, Norilah Bidin, 55, berkata, beliau sudah berniaga di gerai tepi jalan itu sejak lebih 20 tahun lalu namun belum pernah sekali pun gerai mereka dinaik taraf.

“Sebelum ini saya berniaga pelbagai makanan laut seperti ikan, udang, ketam dan bubuk tapi sekarang saya menjual siput tuntul.

“Sejak gerai ini dibuka, sudah beberapa kali kami memohon bantuan namun tidak dipedulikan. Bulan lalu pun kami ada membuat permohonan sekali lagi. Sebelum ini ada orang kampung menyatakan kelulusan telah diberikan tapi, sampai sekarang tiada apa-apa tindakan untuk menaik taraf gerai dilakukan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau berharap agar wakil rakyat di kawasan itu dapat melihat keperluan untuk menaik taraf gerai yang menempatkan kira-kira 20 penjaja itu.

Kebanyakan penjaja di sini berniaga secara kecil-kecilan yang bergantung kepada hasil tangkapan laut yang diperoleh setiap hari.

Bagi pelanggan, Putrianah Johar, 41, gerai-gerai tepi jalan itu sering menjadi tempat persinggahan penduduk kampung membeli makanan laut mahupun siput tuntul.

Namun, sehingga sekarang keadaan gerai yang dibina sejak 20 tahun lalu itu tidak pernah dinaik taraf.

“Gerai-gerai ini macam keadaan setinggan. Jika boleh, bantu peniaga kecil di sini berniaga dalam keadaan gerai yang lebih selesa dan lengkap dengan kemudahan tandas kerana ramai pengunjung yang singgah di sini,” katanya.

Penduduk dari Kampung Ulu Binsulok ini berkata, jika gerai-gerai itu dinaik taraf setidak-tidaknya kedudukan gerai lebih tersusun. – Utusan Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *