Lebih 200 Kanak-Kanak Di Sabah Terima Vaksin Covid-19

Sabah sudah memulakan program vaksinasi untuk kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun bermula pada 3 Feb, menurut Masidi Manjun.

KOTA KINABALU: Seramai 211 kanak-kanak atau 0.05% daripada jumlah kanak-kanak berusia antara lima hingga 11 tahun sudah menerima suntikan dos pertama vaksin Covid-19 di Sabah.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri Masidi Manjun berkata, jumlah itu dikumpul dalam tempoh dua hari sejak Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) dilancarkan pada Khamis lepas.

Katanya, Sabah sudah memulakan program vaksinasi untuk kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun bermula pada 3 Feb dengan seramai 30 orang kanak-kanak menjadi perintis kepada program itu.

“Semalam (kelmarin), seramai 181 kanak-kanak menerima vaksin Covid-19 di Sabah, menjadikan jumlah keseluruhan setakat semalam (kelmarin) seramai 211 kanak-kanak atau 0.05 peratus sudah menerima dos pertama vaksin Covid-19 di Sabah,” katanya dalam kenyataan.

Masidi berkata, sebanyak dua dos suntikan akan diberikan kepada kanak-kanak dengan jarak suntikan lapan minggu, masing-masing mengandungi 10mcg vaksin iaitu satu pertiga daripada dos suntikan untuk orang dewasa.

Sementara itu, Masidi yang juga jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, berkata secara keseluruhan, seramai 2,454,764 orang penduduk Sabah sudah menerima satu dos suntikan vaksin setakat kelmarin.

Daripada jumlah itu, katanya seramai 2,117,184 orang adalah penduduk dewasa atau bersamaan 76.75% daripada jumlah keseluruhan kategori berkenaan.

“Bagi penduduk Sabah yang menerima dos lengkap pula adalah seramai 2,410,687 orang. Daripada jumlah ini, seramai 2,097,672 orang atau 76.05% adalah penduduk dewasa.

“Seramai 337,369 orang atau 77.73% penduduk remaja pula sudah menerima satu dos vaksin, manakala penduduk remaja yang sudah lengkap dos vaksin seramai 313,015 orang atau 72.12% setakat ini,” katanya.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *