KOTA KINABALU: Tiada petunjuk berhubung dakwaan sekumpulan lelaki warga asing berpakaian celoreng dan bersenjata, menyusup masuk ke Lahad Datu, pada 28 Januari lalu.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah, berkata Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah dan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) menjalankan risikan dan penyiasatan, namun mendapati tiada petunjuk dakwaan penyusupan melalui perairan negara dekat Long Patau, Tambisan.
Idris berkata, polis dan pasukan keselamatan lain sentiasa memberikan perhatian terhadap aspek keselamatan di pantai timur negeri ini dan Sabah daripada sebarang ancaman luar.
“Orang ramai dinasihatkan agar tidak risau mengenai keselamatan di Sabah,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Semalam, sebuah agensi berita melaporkan, seorang lelaki mendakwa melihat lebih 10 individu mencurigakan berpakaian celoreng serta bersenjata masuk ke Sabah melalui perairan Long Patau, Tambisan, minggu lalu.
Lelaki terbabit turut mendakwa semua individu itu warga Filipina berdasarkan perbualan mereka yang menggunakan bahasa Suluk. – BH Online
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost