Polis Buru Lelaki Curi Barang Di Kedai Serbaneka Di Inanam

Tangkap layar CCTV menunjukkan suspek memasukkan barang dicuri ke dalam beg sandang di sebuah kedai serbaneka di Inanam Taipan, Kota Kinabalu, kelmarin.

KOTA KINABALU: Polis sedang memburu seorang lelaki yang dirakam mencuri barang di sebuah kedai serbaneka di Inanam Taipan, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah, berkata tindakan memburu suspek itu berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di dalam premis berkenaan.

Katanya, dalam rakaman CCTV itu, suspek berpakaian baju T warna merah, memakai pelitup muka dan membawa beg sandang, bertopi serta seluar panjang memasuki premis berkenaan pada jam 2.30 petang.

“Selepas itu, suspek dipercayai mengambil beberapa barang dan memasukkan ke dalam beg sandang, lalu keluar dari kedai tanpa membuat pembayaran.

“Pekerja yang membuat pengiraan barang mendapati barang di rak jualan sudah berkurangan.

“Kerugian dianggarkan bernilai RM271.40,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mohd Zaidi berkata, berikutan itu, pekerja terbabit membuat laporan polis dan siasatan sedang dijalankan.

“Sehubungan itu, polis memohon kerjasama orang ramai yang mengenali suspek ini supaya dapat tampil membantu siasatan atau menyalurkan maklumat ke balai polis berdekatan.

“Orang ramai juga boleh menghubungi Hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu di 088-529222,” katanya. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *