Covid-19: Sabah Rekod 4 Lagi Kluster Baharu Babit Institusi Pendidikan

Masidi Manjun berkata pertambahan kluster baharu Covid-19 itu menyaksikan 16 kluster institusi pendidikan dikesan di Sabah sejak Januari.

KOTA KINABALU: Kluster Covid-19 melibatkan institusi pendidikan di Sabah terus mencatatkan peningkatan dengan empat lagi kluster baharu bagi kategori itu dikesan semalam.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Masidi Manjun berkata ia sekali gus menyaksikan 16 kluster institusi pendidikan dikesan di negeri itu sejak Januari.

Beliau berkata empat kluster baharu institusi pendidikan itu ialah Kluster Jalan Tandek dan Kluster Jalan Taman Beringin di Kota Marudu serta Kluster Jalan Pendidikan Ranau dan Kluster Sungai Batang Batu Sepuluh di Sandakan.

Jurucakap Covid-19 Sabah itu berkata Kluster Jalan Tandek melibatkan kes indeks pelajar asrama lelaki Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tandek I berusia 15 tahun yang dikesan positif menerusi saringan pada 17 Jan lepas manakala saringan terhadap 43 rakan asrama serta sekelas mendapati 34 lagi positif menjadikan jumlah kumulatif kes bagi kluster itu ialah 35.

“Kluster Jalan Taman Beringin pula melibatkan pelajar perempuan SMK Bandau berusia 17 tahun yang dikesan positif pada 19 Jan sebelum menjalani pemeriksaan di Hospital Queen Elizabeth II.

“Saringan ke atas 49 kontak rapat mendapati 24 lagi kes positif menjadikan jumlah kumulatif 25 kes termasuk 19 kes baharu hari ini terdiri daripada pelajar asrama, harian dan kakitangan sekolah,” menurutnya dalam kenyataan.

Masidi berkata Kluster Jalan Pendidikan Ranau pula tercetus apabila kes indeks, yang merupakan pelajar asrama lelaki SMK Mat Salleh berusia 19 tahun, dikesan positif Covid-19 pada 31 Jan melalui ujian saringan kendiri selepas mula bergejala pada 29 Jan dan terus dikuarantin pada hari sama.

“Saringan terhadap 87 rakan sebilik, asrama dan sekelas pelajar Tingkatan Enam itu mendapati 24 lagi kes positif menjadikan jumlah kumulatif 25 kes,” katanya.

Bagi Kluster Sungai Batang Batu Sepuluh pula, Masidi berkata ia melibatkan pelajar perempuan Maktab Rendah Sains Mara Tun Mohammad Fuad Stephens di Sandakan berumur 16 tahun yang dikesan mula bergejala demam pada 25 Jan.

“Saringan terhadap 101 kontak rapat mendapati 49 lagi kes positif terdiri daripada pelajar asrama, guru dan kontak keluarga menjadikan jumlah kumulatif 50 kes termasuk 36 kes baharu hari ini,” katanya sambil menambah semua pelajar dan kontak rapat bagi setiap kluster adalah dalam kategori satu serta dua, dan mereka telah diasing serta diberikan rawatan lanjut.

Secara keseluruhan, beliau berkata Sabah mencatatkan peningkatan kes baharu hampir dua kali ganda hari ini iaitu 909 berbanding 476 pada Khamis iaitu yang tertinggi sejak 30 Sept tahun lepas menjadikan jumlah kumulatif kes Covid-19 di negeri itu 250,440. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *