Segerakan PRU, Elak Parti Tertentu Kekalkan Kuasa Melalui PRN, Kata Pemimpin WARISAN

Naib Presiden Warisan Jaujan Sambakong, berkata pilihan raya negeri (PRN) yang diadakan mengikut negeri jelas menunjukkan nafsu parti pemerintah mahu kekal berkuasa.

KOTA KINABALU: Pemimpin Warisan meminta pilihan raya umum ke-15 (PRU15) diadakan segera bukan sahaja untuk mengembalikan semula mandat, tetapi untuk mengelak parti tertentu mengekalkan kuasa melalui pilihan raya negeri (PRN).

Naib Presidennya, Jaujan Sambakong, berkata PRN yang diadakan mengikut negeri jelas menunjukkan nafsu parti pemerintah mahu kekal berkuasa.

“Bagi menyelesaikan kemelut politik yang berlaku sekarang, kita perlu mengembalikan mandat kepada rakyat, biar rakyat memilih kerajaan mereka mahukan.

“Bukan dengan cara mengadakan pilihan raya secara berperingkat-peringkat hanya kerana ingin mengekalkan kuasa dan jawatan,” katanya menurut laporan Utusan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulabayan itu, berkata pada masa ini, orang ramai dapat melihat Barisan Nasional (BN) cuba menguasai negeri-negeri terlebih dahulu, sebelum melaksanakan PRU15.

“Mungkin itu agenda atau strategi BN untuk kekal berkuasa, namun jika mereka benar-benar yakin maka, kembalikan semula kuasa ditangan rakyat,” jelasnya.

Beliau berkata, biar rakyat menilai sama ada kerajaan hari ini akan kekal atau sebaliknya dan kemelut politik yang berlaku pada masa ini harus diselesaikan mengikut lunas-lunas sepatutnya.

“Semasa melakukan tinjauan di beberapa negeri di Semenanjung, saya mendapati ramai rakyat yang tidak senang dengan keadaan berlaku sekarang.

“Jika ditanya kepada 10 orang awam, sembilan daripada mereka pasti mahu PRU disegerakan. Hanya orang yang mahu mengekalkan jawatan sahaja tidak mahu menyegerakan pelaksanaan PRU.

“Untuk menyelamatkan keadaan supaya rakyat tidak terus keliru dengan kemelut politik berlaku maka, adakan PRU dengan segera,” katanya.

Jelas beliau, kerajaan perlu mengambil kira keadaan rakyat yang tiada pendapatan tetap serta kehilangan pekerjaan akibat pandemik Covid-19.

Menurut beliau, sekiranya keadaan politik masih belum stabil, ekonomi negara akan mengambil masa lebih lama untuk pulih.

Sejak PRU14, tiga PRN telah diadakan iaitu di Sabah, Melaka, Sarawak dan terbaharu di Johor, susulan pembubaran DUN Johor diisytiharkan pada 22 Januari lalu.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *