Lelaki Tanpa Taraf Warganegara Dari Sabah Tak Sabar Kecapi Hak Istimewa

Wong Kueng Hui berharap kerajaan tidak membuat rayuan selepas Mahkamah Rayuan mengesahkan dia adalah rakyat negara ini.

KUALA LUMPUR: Wong Kueng Hui tidak dapat menahan air mata sebaik mendengar keputusan Mahkamah Rayuan yang mengesahkan bahawa dia adalah rakyat Malaysia, sekali gus menamatkan perjuangannya selama 15 tahun untuk mendapat pengiktirafan itu.

Namun, ia masih belum berakhir. Kerajaan mempunyai tempoh 30 hari untuk memohon kebenaran membuat rayuan.

“Saya berharap kerajaan akan menunjukkan rasa simpati dan tidak membuat rayuan,” katanya.

“Sekiranya dibawa ke Mahkamah Persekutuan, saya akan kehilangan sekurang-kurangnya dua tahun lagi kerana melalui lebih banyak prosiding mahkamah,” katanya.

“Berapa lama lagi saya harus menunggu untuk menjadi warganegara, selepas 15 tahun?” katanya.

Dia tidak sabar untuk menikmati hak keistimewaan yang diberikan kepada warganegara termasuk mempunyai akaun bank dan menduduki peperiksaan Tingkatan 5.

Wong menunjukkan sijil kelahirannya yang tertera statusnya sebagai ‘bukan warganegara’.

Lelaki berusia 27 tahun yang mempunyai bapa warganegara Malaysia dan ibu yang dipercayai warganegara Indonesia itu berkata, dia masih berasa seperti bermimpi sejak keputusan dibuat pada 19 Jan lalu.

“Saya masih ingat ketika duduk bersama peguam Haijan Omar dan Sharifah Alawiah Syed Alwee untuk mendengar keputusan. Apabila Haijan memandang saya dan mengucapkan tahniah, saya terus menangis. Saya cuba untuk tidak putus harapan,” katanya kepada FMT.

Perjalanannya selama 15 tahun lalu agak sukar kerana berdepan diskriminasi daripada orang ramai yang menganggapnya sebagai warga asing ketika berusaha untuk mendapatkan kad pengenalan (MyKad).

“Sudah banyak kali saya hampir berputus asa. Bapa angkat meninggal dunia lewat tahun lalu dan saya rasa tidak dapat untuk memenuhi janjinya, iaitu untuk mendapatkan MyKad dan kembali ke Sabah,” katanya.

Bapa kandungnya meninggal dunia ketika dia berusia 10 tahun manakala ibu pula meninggal dunia ketika dia berusia 17 tahun.

Gambar kenangan Wong sewaktu berusia 2 tahun bersama bapa kandungnya, Wong Ging Cheu, dan ibu, Lilis Beni, menyambut hari lahirnya.

Wong datang ke Semenanjung lima tahun lalu untuk mendapatkan kerakyatannya di mahkamah tetapi ia melibatkan banyak proses yang menyusahkan ketika memohon di Jabatan Imigresen untuk masuk ke negeri asalnya.

Dia berharap dapat pulang segera sebaik mendapat kerakyatan dan meluangkan masa bersama keluarga tersayang.

“Saya teringin membuka akaun bank, mendapatkan lesen memandu, melancong ke luar Malaysia, malah mendapatkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),” katanya.

Dia juga mahu melancong ke Jepun untuk menikmati muzik di sana serta melawat kedai rekod vinil tiga tingkat yang hanya pernah dilihatnya melalui gambar.

Lelaki itu juga berharap kesnya akan menjadi contoh kepada individu tidak bernegara yang lain untuk mendapatkan hak kewarganegaraan.

“Bagi mereka yang masih terperangkap dalam situasi sama, harapan saya supaya mereka terus berani dan berjuang. Saya berasa tertindas, bukan hanya daripada pihak berkuasa tetapi juga masyarakat yang bersikap prejudis terhadap orang tidak bernegara. Saya tahu ia bukan mudah tetapi kita perlu perjuangkan hak kita. Tiada siapa yang dapat menghalang anda,” katanya. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *