Warisan Sasar Rekrut 8 Ahli Politik PH Di Pulau Pinang

Walaupun ia menarik masuk ahli politik daripada komponen PH, Warisan dilihat tidak akan menjejaskan politik yang didominasi PH di Pulau Pinang, kata penganalisis politik.

GEORGE TOWN: Warisan dijangka membawa masuk sekurang-kurangnya lapan ahli politik “berpengaruh” daripada Pakatan Harapan (PH) ke dalam kumpulannya dalam beberapa minggu akan datang.

Menurut sumber, ahli politik kanan DAP Danny Law Heng Kiang yang mengumumkan keluar parti semalam, dijangka mengetuai Warisan di Pulau Pinang, dengan bekas Ahli Parlimen Jeff Ooi dan Ng Wei Aik dijangka menyertainya.

Koordinator Warisan Pulau Pinang, Goh Chun Keong terus membisu apabila ditanya sama ada perkara ini akan berlaku.

“Kami menjangkakan bukan sahaja bekas ahli DAP, tetapi ahli politik yang berpengalaman daripada PKR dan Gerakan menyertai kami tidak lama lagi. Jadi anda akan tahu dalam masa seminggu atau lebih,” katanya kepada FMT.

Goh Chun Keong.

Ketika dihubungi, Ooi enggan memberi memberi komen sementara Ng berkata, “Tidak benar.”

Mengulas mengenai perkembangan terbaharu ini, penganalisis politik Dr Azeem Fazwan Ahmad Farouk berkata, walaupun ia menarik masuk ahli politik daripada komponen PH, Warisan tidak akan menjejaskan politik yang didominasi gabungan itu di Pulau Pinang.

Beliau berkata, ini kerana Warisan masih baharu dan walaupun ia mengimport ahli politik yang berpengalaman, itu tidak memungkinkan kemenangan sokongan pengundi Pulau Pinang.

Bagaimanapun, Azeem berkata, kemasukan Warisan adalah tepat pada masanya kerana masyarakat tempatan mengharapkan “kuasa ketiga” dalam politik kerana mereka sudah muak dengan jenama politik sedia ada.

Danny Law Heng Kiang.

Beliau berkata, Warisan akan menemui jalan hanya jika ia bekerjasama dengan parti legasi seperti Gerakan dalam pilihan raya akan datang.

Bagaimanapun, Pengarah Pusat Penyelidikan Dasar dan Kajian Antarabangsa Universiti Sains Malaysia itu menambah, jika kuasa ketiga yang kuat muncul, kemenangan berturut-turut DAP di Pulau Pinang mungkin dapat dipatahkan pada pilihan raya umum akan datang.

Penganalisis politik Oh Ei Sun berkata, Warisan mungkin menjadi alternatif bagi mereka di Pulau Pinang yang sudah muak dengan DAP dan jenama politik legasi.

Jeff Ooi.

Beliau berkata, pengundi mula melihat DAP terlalu mesra dengan kerajaan sekarang melalui pemeteraian perjanjian kerjasama politik.

Oh berkata, ini menyebabkan pengundi DAP “kecewa dan putus harapan” dan ia mungkin memaksa mereka memboikot pilihan raya akan datang. Ini boleh mengakibatkan peratusan keluar mengundi rendah seperti yang dilihat dalam pilihan raya negeri (PRN) Melaka dan Sarawak.

Ng Wei Aik.

“Warisan menonjolkan dirinya sebagai pilihan alternatif. Jadi masih perlu dilihat berapa besar kohort sebegitu di Pulau Pinang,” katanya.

Oh berkata, Warisan berkemungkinan mengambil alih kerusi PKR di Pulau Pinang memandangkan parti itu “di ambang kemelut” di peringkat pusat.

“Pada masa sama, Warisan sukar meneruskan perjalanannya di kawasan pengundi Melayu.” – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *