Nilai RT COVID-19 Di Sabah Naik

Gambar Hiasan

KOTA KINABALU: Sabah mencatat peningkatan kadar kebolehjangkitan atau Rt COVID-19 dengan catatan 1.07 setakat kelmarin berbanding 0.96 pada 1 Januari lalu.

Jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata kadar terkini itu juga lebih tinggi berbanding 0.98 yang direkodkan bagi Rt kebangsaan.

Beliau sehubungan itu mengingatkan orang ramai di Sabah supaya sentiasa mengambil langkah pencegahan, khususnya dengan mematuhi sepenuhnya prosedur operasi standard (SOP).

“Sebagai langkah pencegahan, kita perlu terus mematuhi SOP dan nasihat dikeluarkan Kementerian Kesihatan (KKM) sepanjang masa,” katanya dalam kenyataan media, malam tadi.

Berdasarkan kadar Rt dikeluarkan KKM semalam, Sabah berada di kedudukan kedua selepas Wilayah Persekutuan Labuan mencatat Rt paling tinggi di seluruh negara.

Labuan mencatat kadar Rt 1.19, diikuti Sabah (1.07), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (1.06) dan Melaka (1.03).

Bagi catatan Rt di Sabah, kadar yang direkodkan dilihat meningkat setiap hari sejak 1 Januari lalu.

Sementara itu, Masidi berkata secara keseluruhan, jumlah kes baharu COVID-19 di Sabah turun 37 kes kepada 161 kes semalam, berbanding 198 kes kelmarin.

Beliau berkata, keadaan semasa COVID-19 di semua daerah juga menampakkan fasa penstabilan kecuali beberapa daerah yang masih berlaku turun naik kes secara mendadak hampir setiap hari.

“Antaranya Kota Kinabalu mencatat 29 kes hari ini (semalam) dengan pengurangan 16 kes berbanding semalam (kelmarin) namun masih menjadi daerah yang mencatat kes baharu tertinggi di Sabah.

“Ranau pula kembali mencatat jumlah yang tinggi dengan 28 kes hari ini (semalam) termasuk enam kes baharu daripada Kluster Hotel Perkasa,” katanya.

Tiada kes kematian disebabkan COVID-19 dilaporkan di Sabah semalam, manakala seramai 219 pesakit dilaporkan sembuh dan 735 orang masih menjalani rawatan. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *