5 Individu Nekad Terjun Laut Elak Dicekup

Bot yang dirampas dipercayai digunakan untuk aktiviti bom ikan di Tanjung Wokong, Pulau Gaya, Kota Kinabalu. – Foto APMM

KOTA KINABALU: Lima individu nekad terjun ke laut bagi mengelak ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di perairan Tanjung Wokong, Pulau Gaya, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira 12.30 tengah malam, lima individu itu disyaki terbabit dalam aktiviti mengebom ikan di perairan berkenaan.

Pengarah APMM Sabah dan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, pihaknya mengesan sebuah bot pancing ketika sepasukan anggotanya melakukan rondaan di sekitar perairan Kota Kinabalu.

“Bot pancing itu bergerak dalam keadaan mencurigakan dan ketika anggota menghampiri bot berkenaan untuk diperiksa, lima individu berkenaan bertindak terjun ke laut.

“Individu terbabit berenang ke pantai berhampiran untuk melarikan diri bagi mengelak daripada ditahan,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.

Katanya, hasil pemeriksaan di bot pancing berkenaan mendapati ada beberapa peralatan disyaki digunakan untuk aktiviti memancing.

“Terdapat fius yang disyaki digunakan bagi aktiviti mengebom ikan dan sebanyak 150 kilogram pelbagai jenis ikan turut dirampas.

“Siasatan forensik terhadap beberapa ikan mendapati bahagian dalam perut ikan hancur kesan daripada aktiviti mengebom,” katanya.

Rosli berkata, bot dan peralatan mengebom serta ikan dirampas serta dibawa ke Jeti Maritim Negeri Sabah, Sepanggar untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 26 Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan menggunakan bahan letupan,” katanya. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *