Tiga Lelaki Maut Kemalangan Di Sandakan

Pasukan bomba mengeluarkan salah seorang mangsa tersepit dalam kemalangan di Jalan Lintas Sibuga, Sandakan. – Foto BOMBA

SANDAKAN: Tiga maut selepas kenderaan dinaiki terbabas sendiri dan merempuh pokok dalam kejadian di Jalan Lintas Sibuga, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu, kenderaan jenis Proton Saga FLX berkenaan turut terputus sehingga dua mangsa tercampak keluar manakala seorang lagi tersepit di dalam kenderaan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima makluman penemuan berkenaan pada jam 11.40 pagi.

Katanya, sepasukan lapan anggota dan pegawai bersama jentera dan van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) dikerahkan bergegas ke lokasi kejadian.

“Terdapat tiga mangsa lelaki terbabit dan dua daripadanya berada di luar kenderaan manakala seorang lagi tersepit.

“Pasukan bomba terus menjalankan operasi bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit di dalam kenderaan malang berkenaan,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, semua mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan paramedik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang yang turut hadir membantu.

Katanya, pasukan bomba terus melakukan pemeriksaan akhir sekitar kawasan bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 12.06 tengah hari. – Asiatimes

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *