Vaksin Pfizer Kekuatan Lebih Rendah Untuk Budak 5-11 Tahun Dapat ‘Lampu Hijau’

Pihak Berkuasa Kawalan Dadah memberi kelulusan bersyarat bagi penggunaan vaksin Pfizer 10mcg untuk kanak-kanak berusia 5 hingga 11 tahun. – Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR: Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) memberi kelulusan pendaftaran bersyarat bagi vaksin Pfizer 10mcg untuk kanak-kanak berusia 5 hingga 11 tahun.

Bagaimanapun Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia mempunyai kekuatan lebih rendah berbanding vaksin Pfizer yang diberikan kepada individu berusia 12 tahun dan ke atas.

Katanya, PBKD juga bersetuju memberikan kelulusan pendaftaran bersyarat bagi vaksin Pfizer 30mcg (Tris/Sucrose), iaitu formulasi baharu untuk individu berusia 12 tahun dan ke atas yang tidak memerlukan pencairan sebelum suntikan.

Malah beliau berkata, formulasi baharu itu mempunyai jangka hayat lebih panjang, iaitu 10 minggu berbanding formulasi sedia ada selama sebulan apabila disimpan pada suhu 2ºC hingga 8ºC setelah dinyahbeku.

“Untuk makluman, pemegang pendaftaran bagi kedua-dua vaksin Comirnaty ini adalah Pfizer (Malaysia) Sdn Bhd dan dikilangkan oleh BioNTech Manufacturing GmbH, Jerman,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Hisham berkata, PBKD juga memberi kelulusan bersyarat bagi penggunaan vaksin CanSino sebagai dos penggalak kepada individu berusia 18 tahun ke atas dengan sela masa tiga hingga enam bulan selepas menerima dos pertama vaksin sama.

“Pemegang pendaftaran bagi vaksin ini ialah Solution Biologics Sdn Bhd dan ia dikilangkan CanSino Biologics Inc, China.

“Kelulusan pendaftaran bersyarat ini masih memerlukan maklumat kualiti, keselamatan dan keberkesanan produk vaksin tersebut dipantau dan dinilai secara berterusan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), berdasarkan data terkini dari semasa ke semasa.

“Ia bagi memastikan perbandingan manfaat-risiko bagi vaksin tersebut kekal positif,” katanya. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *