Usung Keranda 1 KM Kerana Jalan Terputus, Jambatan Musnah

Penduduk mengusung keranda untuk pengkebumian warga emas yang meninggal dunia di Kampung Kantas berhampiran Kampung Nawanon Ranau.

RANAU: Penduduk dari sebuah kampung di sini terpaksa mengusung keranda sejauh satu kilometer selepas jalan rosak dan jambatan musnah akibat hujan berterusan.

Ia merupakan realiti yang menyayat hati bagi sekumpulan penduduk dari Kg Nawanon, Kg Kantas, Kg Pugi dan Kg Kieyep yang terletak kira-kira 62 kilometer dari pusat pekan Ranau. 

Dalam kejadian itu, mereka terpaksa mengusung keranda ke tanah perkuburan untuk pengebumian seorang wanita berusia 91 tahun dari Kg Kantas yang meninggal dunia pada 4 Januari lalu. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kg Nawanon, Jemisi Sabal berkata, berikutan situasi itu, ahli keluarga serta rakan-rakan terpaksa mengusung keranda hampir satu kilometer dari Kg Kantas ke tanah perkuburan.

“Tanah runtuh, jalan pecah, jambatan musnah dan hakisan tanah selepas hujan sejak seminggu lalu, jelas menyusahkan penduduk di sini,” katanya.

Beliau mewakili ratusan penduduk dari kampung-kampung itu yang kini terputus hubungan jalan ke pekan Ranau dan merayu pihak berkuasa mengambil tindakan membaiki jalan rosak dan laluan utama ke kampung-kampung terbabit.

“Disebabkan kerosakan teruk jalan ke Kg Nawanon dan beberapa kampung sekitar, ia menyukarkan penduduk yang berurusan di pekan Ranau, khususnya menghantar pesakit ke hospital daerah atau klinik terdekat,” katanya.

Tambah Jamisi, selain tanah runtuh, jambatan di beberapa kawasan sungai di Nawanon memerlukan tindakan segera daripada kerajaan.

“Kami memahami ini adalah masalah umum sekarang yang membabitkan penduduk di seluruh negeri, tetapi kami berharap akan ada pihak berkuasa yang boleh membantu kami di sini,” katanya. – Harian Ekspres

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *