Lelaki Maut Ditikam Di Luar Pusat Hiburan Di Penampang

Suspek dikenali sebagai Kaw Yung Chee berusia 35 tahun kini diburu polis. – Foto PDRM

PENAMPANG: Seorang lelaki maut selepas ditikam di luar bangunan sebuah pusat hiburan di Jalan Penampang Baru di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi itu, mangsa berusia 29 tahun itu disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth 1 (QEH1).

Ketua Polis Daerah Penampang Mohd Haris Ibrahim berkata, sebaik menerima makluman berhubung kejadian itu, sepasukan anggota dan pegawai bergegas ke lokasi kejadian.

“Mangsa kemudian dikejarkan ke QEH1 dan ditempatkan di Zon Kecemasan untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Bagaimanapun mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 8.38 pagi oleh pegawai perubatan bertugas akibat pendarahan yang teruk disebabkan tikaman objek tajam,” katanya ketika dihubungi.

Mohd Haris berkata, berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) pihak polis berjaya mengenal pasti suspek berkenaan yang mencederakan mangsa sehingga meninggal dunia.

Katanya, polis sudah membuka kertas siasatan berhubung kejadian itu dan kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

“Polis meminta bantuan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek untuk segera berhubung dengan balai polis berhampiran.

“Suspek dikenal pasti sebagai Kaw Yung Chee yang berusia 35 tahun,” katanya.

Beliau meminta orang ramai tidak menyebarkan sebarang maklumat tidak sahih berhubung kejadian itu sehingga boleh mengganggu siasatan. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *