Pegawai Daerah Di Sabah Perlu Proaktif Rancang Pembangunan – Bung Moktar

Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Bung Moktar Radin

TONGOD, 4 Jan : Pegawai daerah di Sabah perlu proaktif dalam merancang dan melaksanakan pembangunan di daerah masing-masing, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Bung Moktar Radin hari ini.

Beliau berkata sehubungan itu, penjawat awam di peringkat daerah pula perlu mengubah cara bekerja supaya dapat memberi perkhidmatan terbaik dan efisien kepada rakyat terutama di luar bandar.

“Semuanya ini boleh dilaksanakan jika kita semua ada kemahuan, komitmen dan perancangan.

“Saya mahu pastikan Sabah keluar daripada (belenggu) kemiskinan. Saya tidak percaya Sabah tidak boleh lari daripada dilabel sebagai negeri termiskin,” katanya kepada pemberita selepas mendengar taklimat pembangunan Tongod oleh Pegawai Daerah Mohd Fauzi Norbeh di sini hari ini.

Bung Moktar yang juga Menteri Kerja Raya Sabah berkata penjawat awam sebagai wakil kerajaan di daerah perlu pantas dan mengelak pelaksanaan pembangunan tertangguh yang boleh mengundang rasa tidak puas hati dalam kalangan rakyat.

“Rakyat datang dari jauh (untuk berurusan di pejabat kerajaan), tambangnya RM20 hingga RM30. Hari ini tidak selesai, kita suruh datang esok. Esok pun tidak selesai. Rakyat tidak boleh tunggu, dia akan marah kerajaan, dia marah wakil rakyat tetapi memang patut pun sebab pendapatan dia berapa sahaja,” katanya.

Dalam pada itu, Bung Moktar yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan meminta Mohd Fauzi melakukan tindakan susulan mengenai projek pembinaan kompleks sukan di Tongod, yang tergendala sejak 2018.

Katanya projek itu yang sepatutnya dibangunkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-11, perlu diteruskan sebagai memenuhi janji kerajaan dahulu kepada rakyat.

Beliau juga meminta Mohd Fauzi merancang projek menaik taraf pejabat urus setia daerah Tongod dan mengemukakan permohonan bagi pembinaan pasar awam dan dewan masyarakat di daerah itu. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *