Saya Sedia Kosongkan Kerusi Melalap, Kata Peter Selepas Keluar Warisan

Peter Anthony berkata, sekiranya perlu mengosongkan kerusi DUN Melalap, beliau akan bertanding semula atas tiket parti baharu yang bakal dilancarkan bulan depan.

KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap, Peter Anthony yang meninggalkan Warisan hari ini berkata, beliau sedia menerima sebarang tindakan undang-undang ke atasnya, termasuk mengosongkan kerusi DUN itu.

“Sekiranya saya harus mengosongkan kerusi Melalap dan bertanding semula, saya akan bertanding semula atas parti saya sendiri.

“Kita akan lihat kemudian, namun sekiranya ada keputusan daripada mahkamah yang juga menyatakan ada kos perlu dibayar kepada Warisan, kita akan atur, kalau itu sudah menjadi peraturan,” katanya kepada wartawan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu setibanya dari Kuala Lumpur hari ini.

Terdahulu, Peter dan ADUN Limbahau, Juil Nuatim mengumumkan mereka meninggalkan Warisan.

Peter yang mengetuai badan bukan kerajaan, Kadazan Dusun Murut Malaysia berkata, beliau akan menubuhkan parti baharu mesra Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang akan dilancarkan bulan depan.

Sementara itu, Setiausaha Agung Warisan, Loretto Padua berkata, kepimpinan tertinggi parti itu akan membincangkan tindakan Peter dan Juil keluar parti dalam masa terdekat.

Katanya, keahlian dua wakil rakyat itu terbatal secara automatik selepas mereka mengumumkan keluar parti secara terbuka.

“Mengikut perlembagaan parti, kalau mereka sudah mengumumkan keluar parti secara terbuka, keahlian mereka akan terbatal secara automatik.

“ADUN yang berkaitan juga tidak perlu lagi menghantar surat makluman kepada parti,” katanya ketika dihubungi. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *