Wanita Maut, Rakan Cedera Kereta Lawan Arus Di Pintasan Jalan Tuaran

Wanita maut manakala dua rakannya cedera apabila kereta yang mereka naiki dan dipandu menentang arus bertembung dengan kenderaan lain di pintasan Jalan Tuaran

KOTA KINABALU: Seorang wanita maut manakala dua rakannya cedera apabila kereta dinaiki mereka bertembung dengan kereta ketika memandu melawan arus di pintasan Jalan Tuaran berhampiran Taman Puri Warisan, di sini, awal pagi hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, mangsa Florenni Dominic, 28, yang memandu kereta Perodua Kancil disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan dari Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKK).

Dua penumpang Perodua Kancil dan pemandu kereta Perodua Alza lelaki berusia 30 tahun yang cedera dibawa ke Hospital Queen Elizabeth II (HQE II) untuk rawatan lanjut.

Difahamkan, mangsa dalam perjalanan pulang ke rumah di Manggatal selepas selesai menyambut hari lahir rakannya di Suria Inanam.

Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, Deputi Superintendan Jo Ak Hang berkata, siasatan awal mendapati kereta Perodua Alza dipandu seorang lelaki berada di lorong kanan dari arah Tuaran menghala ke Penampang apabila tiba-tiba bertembung dengan Perodua Kancil itu yang menentang arus.

“Dia cuba mengelak ke kiri jalan namun disebabkan jarak terlalu dekat menyebabkan perlanggaran berlaku.

“Akibat kejadian itu, pemandu Perodua Kancil meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Jo berkata, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik HQE I, dan sampel darah mangsa akan diambil ketika bedah siasat dijalankan untuk dihantar ke Jabatan Kimia bagi analisis alkohol.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas turut berada di lokasi kejadian bagi membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *