Satu Maut Dua Cedera, Kereta Bertembung Di Jalan Tuaran Bypass

KOTA KINABALU: Seorang maut manakala dua lagi rakan cedera selepas kereta bertembung ketika melawan arus dalam kejadian di Jalan Tuaran Bypass, di sini, awal pagi hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, pemandu Perodua Kancil, Florenni Dominic, 28, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian berhampiran Taman Puri Warisan, di sini.

Manakala dua penumpang Perodua Kancil dan pemandu kereta Perodua Alza parah dan dihantar ke Hospital Queen Elizabeth II (HQE II) untuk rawatan lanjut.

Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, Deputi Superintendan Jo Ak Hang berkata, siasatan awal mendapati, kereta Perodua Alza yang dipandu seorang lelaki berusia 30 tahun berada di lorong kanan menghala ke Penampang.

Bagaimanapun katanya, sebaik tiba di lokasi, Perodua Kancil yang dipandu mangsa bersama dua penumpang tiba-tiba datang dari arah melawan arus.

“Pemandu Perodua Alza cuba mengelak namun disebabkan jarak terlalu dekat, kedua-dua kenderaan terus bertembung.

“Akibat kejadian itu, mangsa yang memandu Perodua Kancil meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Jo berkata, mayat mangsa kemudian dihantar ke Jabatan Forensik HQE I, dan sampel darah mangsa akan diambil ketika bedah siasat dijalankan untuk dihantar ke Jabatan Kimia bagi analisis alkohol.

“Siasatan masih diteruskan dan meminta kerjasama orang ramai yang menyaksikan kejadian itu supaya tampil untuk membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas turut berada di lokasi kejadian bagi membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit. – Asiatimes

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *