Hanya Empat Daerah Di Sabah Catat Kes Dua Angka

Masidi Manjun

KOTA KINABALU: Hanya empat daripada 27 daerah di Sabah mencatatkan kes harian COVID-19 sebanyak dua angka dan selebihnya adalah satu angka.

Jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata empat daerah yang mencatatkan kes sebanyak dua angka membabitkan daerah Ranau, Kota Kinabalu, Kota Belud dan Tuaran.

“Ranau melonjak ke kedudukan teratas sebagai daerah yang paling banyak kes harian iaitu 21 kes.

“Diikuti Kota Kinabalu dan Kota Belud masing-masing sebanyak 19 kes dan Tuaran mencatatkan 16 kes manakala selebihnya, satu angka sahaja.

“Banyak daerah mencatatkan jumlah kes baharu yang lebih rendah dengan empat daripadanya menunjukkan penurunan yang agak signifikan iaitu Kota Kinabalu, Tuaran Papar dan Penampang,” katanya dalam satu kenyataan media, semalam.

Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Menteri Kewangan II negeri, berkata jumlah kes harian COVID-19 semalam kekal mencatatkan sebanyak tiga angka.

“Berdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), jumlah kes positif baharu COVID-19 pada hari ini (semalam) adalah sebanyak 122 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 238,668 kes.

“Sebanyak empat kes kematian dilaporkan iaitu masing-masing satu kes di Kota Kinabalu, Keningau, Putatan dan Kudat.

“Bilangan pesakit COVID-19 sembuh ialah 261 menjadikan jumlah kumulatif 230,386 orang.

“Sementara itu, 789 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 422 orang menerima rawatan di hospital, 360 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam, enam lagi di Pusat Tahanan Sementara (PTS) dan seorang di fasiliti swasta,” katanya. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *