DAP Sabah Tarik Diri MoU Dengan Kerajaan Negeri

Setiausaha DAP Sabah, Phoong Jin Zhe, berkata keputusan itu dibuat dalam mesyuarat majlis DAP negeri, dua minggu lalu.

KOTA KINABALU: DAP negeri menarik diri daripada Agenda Reformasi Sabah (SRA), yang berperanan sebagai memorandum persefahaman (MoU), yang dicadangkan sebelum ini oleh Pakatan Harapan (PH) Sabah dengan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Setiausaha DAP Sabah, Phoong Jin Zhe, berkata keputusan itu dibuat dalam mesyuarat majlis DAP negeri, dua minggu lalu.

“Kami membuat keputusan sebulat suara di mana kami tidak akan menyertai sebarang bentuk kerjasama, agenda reformasi atau MoU dengan kerajaan negeri ketika ini,” katanya kepada pemberita.

“Persoalannya sama ada DAP Sabah patut menyertai PH Sabah dalam perbincangan MoU berkenaan. Mesyuarat tidak membincangkan berhubung menandatangani MoU terbabit.”

Phoong yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Luyang berkata, DAP Sabah berpandangan tiada keperluan untuk memeterai persetujuan dengan kerajaan GRS susulan pakatan itu mempunyai cukup majoriti dalam DUN Sabah.

“Jadi, tiada keperluan bagi kita (menandatangani sebarang MoU) atas nama kestabilan politik,” katanya.

“Ia cukup berbeza dengan situasi di peringkat persekutuan di mana Ismail Sabri Yaakob, dinamakan sebagai Perdana Menteri, tiga bulan lalu.”

GRS adalah pakatan antara Perikatan Nasional, Barisan Nasional dan PBS, dibentuk untuk bertanding pada pilihan raya negeri Sabah, tahun lalu.

DAP Sabah pada awalnya adalah sebahagian daripada rombongan PH membentangkan tujuh agenda reformasi kepada Ketua Menteri Hajiji Noor, pada Nov 15.

Sejumlah reformasi membabitkan politik dan pentadbiran dibentangkan dalam agenda itu, termasuk mengembalikan hak negeri mengikut Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan pelan pemulihan ekonomi pasca Covid-19.

Penganalisis berhujah, kekalahan PH pada pilihan raya negeri Melaka, mungkin disebabkan pemeteraian MoU dengan Putrajaya.

Kata mereka, situasi sama mungkin berulang kepada pembangkang di Sabah sekiranya GRS menerima cadangan agenda reformasi berkenaan.

Pemerhati sebelum ini berkata, intipati SRA, walaupun direkabentuk bagi menangani keperluan dan isu, dilihat menyerupai MoU yang dimeterai di peringkat persekutuan, di mana mencari kebersamaan untuk bekerjasama, sekali gus mewujudkan kestabilan politik.

Muncul reaksi berbeza dalam DAP Sabah sebelum ini. Ketuanya, Frankie Poon, berkata beliau tidak yakin SRA akan memberi kesan kepada pembangkang, namun Ahli DUN Sri Tanjong Justin Wong, memberitahu agar partinya menolak MoU itu atau kehilangan sokongan rakyat.

Phoong berkata, DAP Sabah bukan parti yang memulakan agenda reformasi dengan GRS.

“Laporan media melaporkan bahawa kami yang mendesak perkara itu sebagai tidak benar,” katanya.

Katanya, partinya juga sudah memaklumkan PH Sabah berhubung keputusan mereka.

Selain DAP, PH Sabah merangkumi PKR, UPKO dan Amanah. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *