Pemimpin Keluar Parti Lumrah Politik – Anifah

Anifah Aman

KOTA KINABALU: Presiden Parti Cinta Sabah (PCS), Datuk Seri Anifah Aman menyifatkan tindakan beberapa orang pemimpin tertinggi parti terbabit yang keluar secara beramai-ramai hari ini adalah sebagai lumrah politik.

Beliau berkata, tindakan segelintir pemimpin itu berkemungkinan disebabkan khuatir tidak terpilih lagi untuk memegang jawatan penting parti apabila terdapat rombakan di dalam PCS yang dijadualkan berlaku pada tempoh terdekat.

Menurutnya, setakat ini adanya desakan daripada akar umbi untuk membuat rombakan parti bagi memantapkan hala tuju PCS memperjuangkan naratif rakyat Sabah.

“Sebagai ahli politik yang matang, kita tidak boleh halang mereka untuk meninggalkan parti dan menjadi hak mereka untuk membawa haluan masing-masing di kancah politik negara.

“Namun, saya juga tegaskan di sini, PCS tetap berdiri utuh dalam terus memperjuangkan hak-hak Sabah terutama berkaitan dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan hak rakyat negeri Sabah.

“Saya juga ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih dan semoga jaya kepada mereka walaupun berlainan platform nanti. Saya berharap usaha memperjuangkan hak rakyat Sabah akan terus diutamakan,” katanya.

Dalam pada itu, Anifah turut menyangkal adanya dakwaan mengatakan PCS bakal berkubur dalam arena politik tempatan susulan isu berkenaan sebaliknya mengatakan parti terbabit semakin diterima oleh rakyat negeri ini.

Media hari ini melaporkan beberapa pemimpin tertinggi PCA mengisytiharkan untuk keluar dari parti secara ‘en bloc’, yang diketuai Datuk Ewon Ebin selaku Naib Presiden PCS.

Beliau dipetik berkata, pihaknya menerima tekanan daripada ahli dan penyokong parti mengenai hala tuju PCS berikutan parti terbabit telah kalah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah tahun lalu. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *