Saya Jadi PM Untuk Semua, Janji Shafie; Warisan Lebar Sayap Ke Semenanjung

Sudah tiba masanya untuk melakukan perubahan dalam landskap politik negara dengan menumpukan kesepaduan semua kaum, menurut Shafie Apdal.

KUALA LUMPUR: Warisan, parti berasal dari Sabah secara rasmi melebarkan sayap ke Semenanjung hari ini dengan presidennya, Shafie Apdal berjanji “akan menjadi Perdana Menteri untuk semua” sekiranya menang PRU15.

Berucap di majlis pelancaran pagi ini, Shafie berkata Warisan memperjuangkan kepentingan pelbagai kaum, dan tidak hanya tertumpu kepada satu-satu bangsa seperti parti yang disertainya sebelum ini.

“Saya amat risau, ke mana hala tuju negara kita. Negara macam mana yang ingin kita turunkan kepada generasi akan datang.

“Sebab itu, kita perlu bermula hari ini, tidak boleh lagi tunggu esok atau minggu depan atau tahun depan. Kita mulakan di sini, di Kuala Lumpur,” katanya.

Bekas Ketua Menteri Sabah itu berkata, sudah tiba masanya melakukan perubahan dalam landskap politik negara dengan menumpukan kesepaduan semua kaum.

Ini kerana, katanya, walaupun negara sudah mengecapi kemerdekaan lebih 60 tahun, isu perkauman masih menjadi perdebatan hangat khususnya oleh parti yang didominasi satu-satu kaum.

“Tanpa Umno, Melayu tidak akan mati. Islam adalah agama Persekutuan dan tidak akan lumpuh kalau tiada PAS dan orang Cina tidak akan mati tanpa DAP,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, ketika Dr Mahathir Mohamad ingin menubuhkan Bersatu, bekas perdana menteri itu ada menawarkannya untuk menyertai parti itu namun beliau terpaksa menolaknya kerana tidak mahu terus terikat dengan parti berasaskan kaum.

“Ketika Bersatu mahu dibentuk, Tun (Mahathir) ada tawarkan saya sertai Bersatu tetapi saya kata Tun… cukuplah untuk parti berasaskan kaum, saya mahu tubuhkan parti pelbagai kaum dengan pasukan saya dan parti itu akan bermula dari Sabah,” katanya. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *