JKR Sabah Tidak Diiktiraf Jabatan Teknikal, Bung Ikrar Juang Hingga ‘Titisan Darah Terakhir’

Bung Moktar Radin (dua dari kiri) merasmikan majlis pengiktirafan dan penghargaan JKR Sabah 2021 di Kota Kinabalu, hari ini. Foto JKR Sabah

KOTA KINABALU: Menteri Kerja Raya Sabah, Bung Moktar Radin berkata, beliau amat kecewa kerana Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri belum diiktiraf sebagai jabatan teknikal oleh kerajaan persekutuan.

Katanya, JKR Sabah telah berkhidmat membangunkan infrastruktur di negeri itu sejak Merdeka dan menyiapkan ribuan projek persekutuan serta negeri, namun sehingga kini, ia belum diiktiraf sebagai jabatan teknikal.

“Pada masa ini juga, JKR Sabah mempunyai ratusan jurutera, tetapi dalam Arahan Perbendaharaan 182, kita tidak diiktiraf sebagai jabatan teknikal oleh pihak persekutuan.

“Saya sebagai Menteri Kerja Raya Sabah amat kecewa dan akan membawa perkara ini sekali lagi ke Parlimen.

“Saya akan bersama-sama JKR Sabah memperjuangkan perkara ini sehingga ke titisan darah saya yang terakhir, sehingga kita diiktiraf sebagai sebuah jabatan teknikal,” katanya pada majlis pengiktirafan dan penghargaan JKR Sabah 2021, di sini.

Terdahulu, Bung yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata, JKR Sabah menyiapkan masing-masing 10 projek jalan raya dan bangunan menerusi peruntukan negeri tahun ini.

Katanya, dua kategori projek berkenaan bernilai lebih RM47.3 juta, iaitu RM18.2 juta untuk projek jalan raya dan RM29.1 juta bagi projek bangunan.

Beliau berkata, projek lain yang telah disiapkan menggunakan peruntukan negeri tahun ini ialah empat projek cerun yang menelan belanja RM21.1 juta dan satu projek jambatan bernilai RM9 juta.

Sementara itu katanya, terdapat 13 projek membabitkan peruntukan persekutuan turut disiapkan JKR Sabah tahun ini.

Bung berkata, antara projek berkenaan ialah projek luar bandar yang menelan kos RM287.6 juta, dua projek cerun (RM1.96 juta), satu projek bangunan bernilai RM268.9 juta dan satu projek jambatan bernilai RM12 juta. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *