Rakyat Sabah Jangan Bimbang, Teruskan Kehidupan Seperti Biasa – Polis

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mazlan Lazim (dua, kiri) memeriksa barisan kawalan kehormat Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) pada Perhimpunan Khas sempena Lawatan Kerja di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak hari ini. – Foto BERNAMA

IPOH, 15 Dis : Orang ramai khususnya di Sabah dinasihatkan supaya tidak bimbang dan meneruskan kehidupan seperti biasa susulan dakwaan kononnya tentera Sulu akan menceroboh negeri itu tidak lama lagi.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Mazlan Lazim berkata ini kerana menerusi maklumat yang diterima pihaknya, dakwaan tersebut adalah tidak benar dan dimanipulasi.

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan bersiap siaga untuk sebarang kemungkinan dan orang ramai diminta untuk terus bekerja seperti biasa,” katanya selepas sesi perhimpunan khas sempena lawatan kerja Timbalan Ketua Polis Negara ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini hari ini. 

Jumaat lepas, Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Affendi Buang dilaporkan berkata tiada bukti kukuh berhubung rancangan tentera Sulu tersebut untuk melakukan pencerobohan dan pihaknya memandang serius akan sebarang isu ini yang akan mengancam keselamatan negara.

Mazlan berkata setakat ini, pihaknya dimaklumkan perhimpunan yang diadakan tentera Sulu tersebut berkaitan isu setempat dan bukannya untuk mengadakan pencerobohan di Sabah.

“Kami dapat maklumat memang ada perhimpunan dan perbincangan di Selatan Filipina tetapi mengenai ekonomi dan keselamatan setempat. Perbincangan tersebut tidak berkait dengan serangan di Sabah dan ada pihak yang cuba memanipulasikan maklumat  tersebut,” katanya.  – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *