Pindaan RUU Buka Jalan Pulih MA63, Kata Hajiji

Hajiji Noor berkata, dengan asas MA63 dilaksanakan, langkah kini boleh diambil untuk bergerak lebih jauh ke hadapan dalam memulihkan hak Sabah dalam Persekutuan Malaysia.

KOTA KINABALU: Kelulusan Rang Undang-Undang Pindaan Perlembagaan Persekutuan 2021 bakal membuka jalan kepada pemulihan sepenuhnya Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), kata Ketua Menteri, Hajiji Noor.

Katanya, perkara itu menjadi detik penting dalam sejarah negara terutama apabila ia diluluskan sebulat suara oleh Parlimen.

“Kami sentiasa mempertahankan hal ini dan Majlis Khas MA63 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri telah sedia menerima permintaan yang dikemukakan oleh Sabah dan Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan.

Hajiji berkata, dengan asas MA63 dilaksanakan, langkah kini boleh diambil untuk bergerak lebih jauh ke hadapan dalam memulihkan hak Sabah dalam Persekutuan Malaysia.

Katanya, penubuhan Majlis Khas MA63 (MKMA63) sebelum ini juga penting kerana ia adalah manifestasi kerajaan hari ini untuk duduk bersama dan menyelesaikan isu berkaitan sebagai satu Keluarga Malaysia.

Beliau turut memberi jaminan kerajaan negeri tidak akan berhenti setakat ini saja, sebaliknya akan terus memperjuangkan hak negeri seperti dipersetujui melalui MKMA63.

Rang Undang-Undang Pindaan Perlembagaan Persekutuan 2021 yang dibentangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Wan Junaidi Jaafar diluluskan sebulat suara oleh Ahli Parlimen melalui pengundian pada bacaan akhir kali kedua dan ketiga, semalam. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *