Iklan Pinjaman Wang Serupa Kertas Kompaun DBKK, Tindakan Akan Tegas Diambil, Kata Datuk Bandar

Iklan pinjaman wang menyerupai kertas kompaun DBKK yang tular di media sosial sejak semalam.

KOTA KINABALU: Tindakan tegas akan diambil terhadap syarikat atau individu bertanggungjawab mempamerkan iklan pemberi pinjaman wang menyerupai kertas kompaun Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK).

Datuk Bandar Kota Kinabalu, Noorliza Awang Alip, berkata iklan yang turut tular di media sosial itu akan menimbulkan kekeliruan dalam kalangan orang awam.

“DBKK akan mengenal pasti syarikat atau individu bertanggungjawab mengedarkan kertas iklan pemberi pinjam wang yang diselitkan pada cermin kereta orang awam menyerupai kertas kompaun DBKK di sekitar kawasan bandaraya.

“DBKK juga menafikan tuduhan awam bahawa kertas iklan itu milik DBKK dan ia juga didapati tidak mempunyai lesen kebenaran DBKK,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, siasatan lanjut berhubung perkara itu akan dijalankan bagi mengesan syarikat atau individu bertanggungjawab.

Katanya, tindakan akan diambil mengikut Undang-Undang Kecil (Iklan) Bandaraya Kota Kinabalu 1983 dan jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda sebanyak RM5,000 mengikut peruntukan undang-undang sama.

“Pihak DBKK juga akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk membatalkan nombor talian yang tertera dalam risalah berkenaan,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, DBKK sudah membuat laporan polis untuk siasatan lanjut mengikut Akta Pemberi Pinjam wang 1951.

Beliau meminta orang awam memaklumkan sekiranya melihat mana-mana individu yang mengedarkan risalah terbabit.

“Maklumat berkenaan boleh disampaikan melalui talian DBKK Hotline di talian 012 2220220,” katanya. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *