Lelaki Maut Dilanggar Lari Di Jalan Kepayan, Saksi Diminta Tampil

Keadaan mangsa langgar lari di Jalan Kepayan.

KOTA KINABALU: Saksi kejadian kes langgar lari yang mengakibatkan seorang lelaki maut di Jalan Kepayan, di sini, awal pagi tadi, diminta tampil membantu siasatan.

Kejadian jam 3.40 pagi itu dilaporkan berlaku di hadapan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) membabitkan seorang pejalan kaki tanpa identiti.

Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, Deputi Superintendan Jo Ak Hang berkata, kejadian disedari seorang pemandu yang kebetulan melalui jalan berkenaan.

Katanya, sebaik ternampak satu lelaki terbaring dalam keadaan berlumuran darah, pemandu kenderaan terbabit terus menghubungi polis menerusi talian MERS999 untuk memaklumkan kejadian berkenaan.

“Bertindak atas maklumat, sepasukan anggota dan pegawai dikerah ke lokasi kemalangan dan mendapati mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.

“Tiada sebarang pecahan komponen kenderaan atau kesan tayar ditemui di sekitar lokasi kemalangan,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Jo berkata, mangsa disahkan meninggal dunia oleh Dr Verelie Ann Yih dari Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) yang turut hadir membantu di lokasi kejadian.

Katanya, tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui sebaliknya hanya sekeping gambar keluarga pada poket seluar mangsa.

“Mangsa tidak disyaki mabuk namun sampel darah akan diambil semasa bedah siasat untuk dihantar ke Jabatan Kimia bagi analisis alkohol dan dadah.

“Siasatan awal mendapati punca kemalangan disyaki disebabkan kecuaian mangsa sendiri semasa melintas jalan.

“Walaubagaimanapun, siasatan lanjut akan diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Menurutnya, sebarang maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi pegawai penyiasat trafik IPD Kota Kinabalu, Inspektor  Nurul Farhana Fadzil ditalian 013-8090954.

“Waris atau mereka yang mengenali mangsa juga diminta berhubung terus dengan pegawai penyiasat bagi membantu siasatan,” katanya. – Asiatimes

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *