ATM Tingkat Kesiapsiagaan Di Perairan Sabah – Hishammuddin

Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein ketika sidang media khas mengenai Perancangan Pasca 100 Hari Kementerian Kewangan di Wisma Perwira hari ini. – Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan mengarahkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) meningkatkan kesiapsiagaan pada tahap tertinggi susulan laporan media antarabangsa mengenai dakwaan wujudnya plot untuk menyerang Sabah.

Meskipun tiada bukti dan asas yang kukuh terhadap dakwaan yang menyatakan seramai 600 Tentera Diraja Sulu (RSF) akan menyerang Sabah, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata sebarang bentuk ancaman sama ada boleh dipercayai atau sebaliknya dianggap sebagai sesuatu yang serius.

Beliau berkata, kementerian itu sudah mengarahkan ketiga-tiga cabang perkhidmatan dalam ATM melalui Panglima Medan Timur, Tentera Darat Malaysia (TDM), Panglima Armada Timur, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Panglima Wilayah Udara 2, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mempertingkatkan kesiapsiagaan terutama di Pantai Timur Sabah.

“Agensi perisikan dan keselamatan sudah mengambil maklum mengenai perkara yang dilaporkan dan sedang dalam proses verifikasi dengan agensi sejawat mereka di Filipina serta serantau seperti dinyatakan oleh Ketua Polis Negara, dan Komander Kawasan Keselamatan Timur Sabah (ESSCOM), semalam

“Bahagian Staf Perisikan Pertahanan (BSPP) ATM juga sentiasa memantau perkembangan yang sedang berlaku dan menilai indikator yang boleh menjejaskan keselamatan dan setakat ini saya dimaklumkan tiada petunjuk ketara atau bukti kukuh atas laporan media oleh South China Morning Post mengenai dakwaan tentera Sulu sedang merancang untuk menceroboh Sabah,” katanya selepas menghadiri Bengkel Perancangan 100 Hari Kementerian Pertahanan di sini, hari ini.

Hishammuddin berkata, rakyat Sabah tidak perlu bimbang dengan ancaman berkenaan kerana pihaknya sedang memantau perkara itu secara mendalam.

“Sekiranya maklumat kita terima memerlukan atur gerak bukan saja anggota tapi juga aset, saya rasa tidak jadi masalah untuk kita lakukan tapi setakat ini tiada keperluan,” katanya.

Beliau berkata, hubungannya dengan Menteri Pertahanan Indonesia, Prabowo Subianto dan Setiausaha Pertahanan Filipina, Delfin Lorenzana juga akrab dan kukuh selain menyatakan ketiga-tiga mereka sentiasa berkomunikasi mengenai perkara yang menjadi kebimbangan bersama terutama soal keselamatan.

“Prabowo, Lorenzana dan saya bersetuju untuk melaksanakan semula Perbincangan Peringkat Menteri mengenai ‘Trilateral Cooperative Arrangement’ (TCA) dan kami merancang untuk bertemu pada Januari 2022 bagi mengukuhkan lagi kerjasama antara angkatan tentera negara masing-masing di perairan itu,” katanya. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *