Kehabisan Stok Kertas Sijil Kelahiran Di Luar Kawalan – JPN Sabah

Gambar Hiasan

KOTA KINABALU: Pengeluaran sijil kelahiran di negeri ini tertangguh disebabkan kehabisan kertas yang digunakan untuk mencetak dokumen berkenaan, kata Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Sabah Khairrul Aminus Kamaruddin.

Beliau berkata, stok kertas sijil kelahiran JPN Sabah pada tahun ini adalah sebanyak 24,801 keping, namun terputus bekalan dan kehabisan pada awal Oktober lalu.

“Setakat ini, sijil kelahiran yang tertangguh atau menunggu stok untuk cetakan adalah kira-kira 3,200 permohonan. Kelewatan pengeluaran sijil lahir berkenaan disebabkan kekurangan bekalan sijil ekoran bekalan kertas yang digunakan adalah diimport daripada pengilang di China.

“Kelewatan bekalan kertas tiba di Malaysia disebabkan kejadian banjir di negara berkenaan, baru-baru ini. Semakan mengesahkan bekalan kertas berkenaan sudah tiba di negara ini dan melepasi pemeriksaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) pada 6 Disember lalu,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Baru-baru ini, tular dalam media sosial beberapa individu dari negeri ini mengeluh kerana terpaksa menunggu lama, namun tidak dapat mencetak sijil kelahiran anak mereka.

Khairrul Aminus berkata, kertas berkenaan sudah diterima oleh syarikat percetakan pada 8 Disember lalu bagi proses cetakan sijil kelahiran dan kertas sijil lahir berkenaan, dijangka sampai ke seluruh Sabah serta boleh dikeluarkan selewat-lewatnya 20 Disember nanti.

“JPN ingin memohon maaf atas kelewatan dan kesulitan yang berlaku… ia adalah di luar kawalan JPN.

“Sekiranya terdapat pelanggan yang terkesan atau memerlukan surat pengesahan kelahiran daripada JPN, sebagai contoh untuk tujuan penerbangan ke Semenanjung Malaysia atau Sarawak, bolehlah memohon di JPN,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan boleh menghubungi Pejabat Perkhidmatan Pelanggan (PPP) JPN Sabah di talian 088-488300 atau 088-488301 atau 088-488365. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *