Stok Kertas Habis, Pengeluaran Sijil Kelahiran Di Sabah Tertangguh

Pengarah JPN Sabah, Khairrul Aminus Kamaruddin menunjukkan contoh kertas sijil kelahiran yang kekurangan bekalan.

KOTA KINABALU: Pengeluaran sijil kelahiran di Sabah tertangguh disebabkan kertas yang digunakan untuk mencetak dokumen berkenaan telah habis, kata Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Sabah, Khairrul Aminus Kamaruddin.

Beliau berkata, stok kertas sijil kelahiran JPN Sabah tahun ini sebanyak 24,801 keping, namun terputus bekalan dan kehabisan stok pada awal Oktober lepas.

“Setakat ini, sijil kelahiran yang tertangguh atau menunggu stok untuk cetakan adalah kira-kira 3,200 permohonan. Kelewatan pengeluaran sijil lahir berkenaan disebabkan kekurangan bekalan sijil ekoran bekalan kertas yang digunakan adalah diimport daripada pengilang di China.

“Kelewatan bekalan kertas tiba di Malaysia disebabkan kejadian banjir di negara berkenaan baru-baru ini. Semakan mengesahkan bekalan kertas berkenaan sudah tiba di negara ini dan melepasi pemeriksaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) pada 6 Dis lepas,” katanya pada sidang media.

Baru-baru ini, tular dalam media sosial beberapa individu dari negeri ini mengeluh terpaksa menunggu lama, namun tidak dapat mencetak sijil kelahiran anak mereka.

Khairrul Aminus berkata, kertas berkenaan sudah diterima syarikat percetakan pada 8 Dis bagi proses cetakan sijil kelahiran dan kertas sijil lahir dijangka sampai ke seluruh Sabah serta boleh dikeluarkan selewat-lewatnya 20 Dis nanti.

“JPN ingin memohon maaf atas kelewatan dan kesulitan yang berlaku…ia adalah di luar kawalan JPN.

“Sekiranya terdapat pelanggan yang terkesan atau memerlukan surat pengesahan kelahiran daripada JPN, sebagai contoh untuk tujuan penerbangan ke Semenanjung atau Sarawak, bolehlah memohon di JPN,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan boleh menghubungi Pejabat Perkhidmatan Pelanggan (PPP), JPN Negeri Sabah di talian 088-488300 atau 088-488301 atau 088-488365. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *