Lelaki Maut Dirempuh Pacuan Empat Roda

KOTA KINABALU: Keadaan gelap akibat lampu tidak berfungsi dipercayai menjadi punca seorang lelaki dirempuh sebuah pacuan empat roda di Jalan Coastal, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 pagi itu, mangsa berusia 49 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan Hospital Queen Elizabeth I (HQEI).

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Sabah, Superintendan Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, sebaik menerima makluman daripada orang awam pada jam 2.45 pagi, sepasukan anggota dan pegawai dikerah ke lokasi kejadian.

Katanya, siasatan awal mendapati kenderaan Mitsubishi Triton berkenaan dipandu seorang wanita berusia 61 tahun.

“Siasatan awal mendapati, kereta Mitsubishi Triton berkenaan dipercayai bergerak dari arah Pasar Besar Kota Kinabalu menghala ke Market 88 Kepayan.

“Bagaimanapun, sebaik tiba di lokasi kejadian, pemandu dipercayai gagal melihat mangsa berikutan keadaan di kawasan berkenaan gelap kerana lampu jalan tidak berfungsi,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Zamzuri berkata, akibat keadaan itu, pemandu pacuan empat roda berkenaan tidak sempat mengelak lalu terlanggar pejalan kaki terbabit.

Katanya, sepasukan paramedik HQEI yang diketuai Dr. Mohd Ariff Hasreen yang hadir membantu di lokasi kejadian kemudiannya mengesahkan mangsa meninggal dunia pada jam 3.40 pagi.

“Mangsa tidak disyaki mabuk, namun sampel darah mangsa sudah diambil semasa bedah siasat dijalankan dan dihantar ke Jabatan Kimia bagi analisis alkohol.

“Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya. – AsiaTimes

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *