Semua ADUN Sabah Dapat Peruntukan RM2 Juta Tahun Depan, Kata Hajiji

Hajiji Noor berharap ADUN akan menggunakan peruntukan dengan sebaik-baiknya bagi membantu rakyat atau menangani isu di kawasan masing-masing.

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Hajiji Noor mengumumkan bahawa setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Sabah termasuk yang diwakili pembangkang akan diperuntukkan dana RM2 juta tahun depan.

Hajiji yang juga Menteri Kewangan Negeri bagaimanapun berkata, kerajaan akan mewujudkan mekanisme yang betul untuk menyalurkan peruntukan kepada ADUN pembangkang.

Beliau membuat pengumuman itu selepas ADUN Luyang, Phoong Jin Zhe dan wakil Tungku, Assaffal Alian bertanya jika bantuan itu akan diberi kepada pembangkang.

“Ya, setiap kawasan akan mendapat RM2 juta tetapi kita akan cari mekanisme bagaimana untuk mengagihkan dana kepada pembangkang,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada sidang DUN.

“Kami faham di setiap kawasan memang ada keperluan, jadi kita akan cari jalan macam mana.”

Hajiji berharap ADUN akan menggunakan peruntukan itu dengan sebaik-baiknya bagi membantu rakyat atau menangani isu di kawasan masing-masing.

Terdahulu, ADUN Moyog Darell Leiking bertanya sama ada benar Hoch Standard Pte Ltd, firma yang terlibat dalam perjanjian karbon di Sabah, akan menerima komisen 30% untuk mengendalikan aktiviti perdagangan karbon.

Kata Hajiji, perjanjian terbabit, yang dikenali sebagai Nature Conservation Agreement (NCA), masih belum dimuktamadkan.

Beliau bersetuju dengan cadangan Leiking bahawa angka itu sepatutnya lebih rendah daripada 30%, sambil menambah ini bermakna lebih banyak pendapatan untuk kerajaan negeri.

Katanya, beliau turut mengambil maklum cadangan ADUN Senallang Shafie Apdal berhubung penubuhan jawatankuasa khas untuk menyelia projek itu bagi menangani isu ketelusan.

Sidang DUN Sabah semalam “panas” selepas berlaku “perang mulut” antara Timbalan Ketua Menteri Jeffrey Kitingan dan Ketua Pembangkang Shafie Apdal apabila Jeffrey dalam ucapan penggulungannya mendakwa projek berkenaan dimulakan oleh Warisan ketika mereka memerintah negeri berkenaan sebelum ini.

Shafie menafikan perkara itu dengan berkata, walaupun projek itu dibawa kepada perhatiannya, beliau menolaknya kerana ia melibatkan persoalan tanah. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *