Penduduk Kampung Bundu Tuhan Harap Sejarah Dapat Kembalikan Hutan Mereka

Pemandangan Kampung Bundu Tuhan berhampiran Gunung Kinabalu dan hutan di sekeliling perkampungan berbukit itu dari udara. – Gambar Jabatan Perhutanan

KOTA KINABALU: Penduduk kampung di Bundu Tuhan berhampiran Gunung Kinabalu berharap faktor sejarah akan mendukung usaha mereka mendapatkan kawasan hutan yang dipertikaikan berhampiran kampung itu untuk kekal bawah pengawasan mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Pemegang Amanah Bundu Tuhan Johnny Ghani berkata, kerajaan negeri meluluskan tanah seluas 1,263 hektar sebagai rizab kediaman asal penduduk kampung lima dekad lalu.

Rizab itu termasuk hutan asli seluas 760 hektar – kira-kira sebesar Petaling Jaya – yang menurut Johnny dijaga oleh nenek moyang mereka sejak turun-temurun.

Bagaimanapun baru-baru ini, Setiausaha Hasil Bumi Negeri Sernam Singh dilaporkan sedang mempertimbangkan sama ada untuk membenarkan kawasan seluas 760 hektar itu kekal bawah pengawasan penduduk kampung Bundu Tuhan atau diletakkan bawah kawalan Jabatan Perhutanan Sabah sebagai sebahagian daripada Hutan Simpan Tinompok Kelas 1 yang dilindungi sepenuhnya.

“Penanda sempadan diletakkan oleh kakitangan Jabatan Tanah dan Ukur Sabah dibantu oleh penduduk kampung antara 1965 dan 1968,” kata Johnny kepada FMT.

“Ini dilakukan setelah permohonan pemimpin masyarakat agar kawasan ini diketepikan sebagai rizab kediaman asal diluluskan jabatan.”

Beliau berkata, hanya pada 1983 perkara itu dimuktamadkan secara rasmi dengan pengeluaran warta kerajaan yang ditandatangani Yang di-Pertua Negeri.

Pada tahun sama, penduduk kampung memulakan inisiatif pemuliharaan komuniti yang dikenali dalam bahasa Kadazandusun sebagai “bombon” atau “tagal” dengan kemasukan ke kawasan hutan dihadkan dan penduduk kampung dibenarkan menuai hasil seperti buah-buahan atau sayur-sayuran liar untuk kegunaan sendiri hanya dengan izin.

Jelas Johnny, memburu dan menebang pokok dilarang sama sekali sebagai sebahagian daripada “bombon”, dipercayai yang pertama seumpamanya di Sabah. Inisiatif pemuliharaan komuniti yang serupa kebanyakannya terhad kepada sungai.

Sementara itu, Ketua Konservator Jabatan Perhutanan Sabah Frederick Kugan berkata, Hutan Simpan Tinompok yang merangkumi kawasan hutan seluas 760 hektar itu diwartakan pada 1984, walaupun ia dicadangkan beberapa tahun lebih awal.

Katanya, hutan asli seluas 760 hektar yang dikenali sebagai “hutan winokok” itu adalah kawasan tadahan air yang penting dan telah diperuntukkan untuk kekal sebagai kawasan perlindungan bawah status Hutan Simpan Kelas 1.

Frederick berkata, pertindihan “bidang kuasa” bagi kawasan ini tidak menjadi isu sehingga baru-baru ini, apabila penduduk kampung Bundu Tuhan meminta kawasan hutan itu “dikeluarkan” daripada Hutan Simpan Tinompok dan diletakkan bawah kawalan mereka.

Katanya, jabatan telah cuba menyelesaikan perkara itu secara baik dengan mencadangkan supaya kawasan seluas 760 hektar itu kekal sebagai hutan simpan tetapi dengan komuniti Bundu Tuhan diberi keistimewaan dan hak berdasarkan Seksyen 14 Enakmen Hutan.

Sabah akan kehilangan 760 hektar kawasan yang dilindungi sepenuhnya jika hutan ini dikeluarkan daripada Hutan Simpan Tinompok, tambahnya. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *