Tiada Bekalan Air, Penduduk Berisiko Dibaham Buaya, Kata ADUN Sebatik

Dua orang telah menjadi mangsa serangan buaya tahun ini disebabkan masalah bekalan air, kata ADUN Sebatik, Hassan A Gani Pg Amir.

KOTA KINABALU: ADUN Sebatik, Hassan A Gani Pg Amir berkata, masalah bekalan air di kawasannya telah mendatangkan risiko kepada penduduk di situ termasuk serangan buaya.

Katanya, tahun ini dua orang telah menjadi mangsa serangan buaya iaitu masing-masing di Kampung Brantian dan Kampung Serudung Laut.

“Masalah ketiadaan bekalan air, bukan setakat masalah kegagalan kita, tetapi bagi rakyat di DUN Sebatik ia membabitkan kehilangan nyawa.

“Kerana ketiadaan air, mereka terpaksa turun mandi di sungai yang mendedahkan kepada risiko lemas, banjir malahan serangan maut buaya.

“Setiap kita yang ada dalam dewan yang mulia ini punya tanggungjawab untuk mengatasi masalah ini. Benar ajal maut ketentuan Tuhan tapi ini cerita orang dibaham buaya kerana tiada air di rumahnya,” katanya ketika membahaskan belanjawan 2022 Sabah pada sidang DUN, di sini, hari ini.

Hassan yang juga ADUN Perikatan Nasional (PN) berkata, peristiwa serangan buaya ini akan berulang sekiranya masalah bekalan air terus berlaku.

“Peristiwa ini akan menghantui kita jika kita tidak menyediakan bekalan air bersih kepada golongan rakyat seperti ini,” katanya.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *