41,490 Orang Miskin Tegar Di Sabah Sehingga 1 Disember

KOTA KINABALU, 7 Dis : Seramai 41,490 orang miskin tegar direkodkan di Sabah sehingga 1 Dis lepas, persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah diberitahu hari ini.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Jahid Jahim berkata seramai 24,864 orang pula adalah dalam kumpulan miskin, dan 20,412 orang terkeluar daripada kategori miskin.

“Oleh itu keseluruhan statistik kemiskinan negeri Sabah menunjukkan seramai 86,766 orang miskin tegar, miskin dan terkeluar (kategori miskin),” katanya ketika menjawab soalan asal Datuk Ewon Benedick (UPKO-Kadamaian) yang bertanya mengenai statistik kemiskinan terkini di Sabah.

Menjawab soalan tambahan Ewon apakah usaha kerajaan untuk mengatasi masalah kemiskinan ini terutama rakyat yang terkesan akibat COVID-19, Jahid berkata pihaknya telah merangka pelbagai langkah perlu untuk dilaksanakan bagi mengatasi masalah itu.

“Bagi memberi nilai tambah kepada usaha ini, kementerian berpendirian terbuka bagi membuat libat urus dengan mana-mana pihak bagi kita memikirkan dan menyelesaikan masalah ini secara bersama,” katanya.

Sementara itu, menjawab soalan Datuk Anwar Ayuub (STAR-Liawan) yang bertanya apakah tindakan kerajaan untuk membantu dan menambah kuota Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di Sabah, Jahid berkata jumlah keperluan PPRT secara purata setiap tahun di Sabah adalah sebanyak 4,500 unit. 

“Untuk tahun ini, agihan PPRT yang diterima oleh kementerian hanyalah 400 unit sahaja. Sebenarnya, jumlah agihan PPRT yang telah diperuntukkan selama ini jauh masih kurang daripada keperluan sebenar. Sememangnya Kementerian telah sedia maklum dengan keperluan untuk menambah kuota PPRT.

“Kementerian telah mengambil usaha untuk menambah kuota PPRT di Sabah, antaranya adalah  mengemukakan surat kepada pihak Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) di persekutuan,” katanya.

Beliau berkata kementeriannya juga telah bekerjasama dengan pejabat-pejabat daerah untuk membuat unjuran keperluan pembinaan rumah PPRT bagi tempoh lima tahun dan surat berkaitan perkara berkenaan juga telah dikemukakan kepada pihak KPLB,” tambahnya. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *