Pemandu Lori Dipercayai Mabuk Tuak Maut Dalam Kemalangan

Pemeriksaan di dalam lori yang dipandu mangsa turut menemui minuman tuak, menurut polis.

TAWAU: Seorang pemandu lori yang dipercayai mabuk maut dalam kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan di Jalan Sungai Burong, Tawau, semalam.

Ketua Polis Daerah Peter AK Umbuas berkata, siasatan awal mendapati kejadian kira-kira 8.15 malam itu berpunca daripada pemandu lori Daihatsu berusia 63 tahun yang hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan.

Pemeriksaan di dalam lori yang dipandu mangsa turut menemui minuman tuak.

“Semasa kejadian, pemandu tersebut tiba-tiba memasuki laluan bertentangan lalu melanggar cermin sisi kanan serta lampu belakang sebuah lori yang sedang dalam perjalanan menuju ke Tawau.

“Kemudian, pemandu lori (Daihatsu) yang sedang menuju ke Semporna itu memasuki semula laluannya sebelum menuju ke laluan bertentangan sehingga bertembung dengan lori jenis Nissan,” katanya, menurut laporan Utusan Malaysia.

Mangsa yang tersepit berjaya dikeluarkan oleh pihak bomba dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Dua lori lain yang terbabit mengalami kerosakan akibat kemalangan itu, namun pemandunya tidak cedera.

Kes disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *