Wanita Hamil Maut Kemalangan, 5 Lagi Parah Kemalangan 3 Kenderaan

Keadaan kereta mangsa yang remuk. (Gambar kanan) Pasukan keselamatan membantu mangsa yang cedera.

TAWAU: Seorang wanita hamil maut manakala lima yang lain cedera dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan, di Kilometer 45, Jalan Apas, berhampiran Kampung Nasib Kita, dekat sini, hari ini.

Dalam kejadian 1.52 tengah hari itu, mangsa Noor Aqila Ibrahim, 27, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Kenderaan mangsa yang remuk selepas terbabas dan melanggar penghadang jalan.

Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata, kemalangan membabitkan tiga kenderaan, masing-masing dua Toyota Vios dan sebuah Proton Saga.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila kereta Vios berwarna biru dipandu suami mangsa, Wan Ramzi Wan Omar, 27, dari arah Tawau menuju ke Semporna secara tiba-tiba hilang kawalan.

“Kenderaan dinaiki pasangan suami isteri itu kemudiannya merempuh pembahagi jalan sebelum memasuki laluan bertentangan lalu bertembung dengan sebuah lagi Toyota Vios berwarna merah.

“Pada masa sama, kereta Proton Saga (e-hailing) yang berada di laluan itu tidak dapat mengelak lalu merempuh kereta dinaiki mangsa,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, akibat kemalangan itu, empat mangsa menaiki kereta Proton Saga iaitu Kuhan Neelamegan, 29, mengalami pendarahan dalaman, Vasanthakumar Segaran, 29, dan Shalini Thiagarajan, 30, masing-masing lebam kaki kiri manakala pemandu Al Hafiz Mohd Basir, 26, turut parah.

Peter berkata, pemandu Toyota Vios berwarna merah lelaki berumur 61 tahun bersama seorang penumpang lelaki berusia 66 tahun bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya, semua mangsa yang cedera dihantar ke hospital Tawau menggunakan ambulan untuk rawatan lanjut.

Kenderaan mangsa yang remuk selepas terbabas dan melanggar penghadang jalan.

“Siasatan lanjut masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Tawau, Julius John Stephen Jr berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 1.57 tengah hari.

Katanya, sepasukan tujuh anggota bersama sebuah jentera dan van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke lokasi kejadian bagi membantu mangsa. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *